Hasrat bantu mangsa kemalangan bertukar tragedi
Bernama
Ogos 27, 2019 12:44 MYT
Ogos 27, 2019 12:44 MYT
Hasrat pemandu lori yang membawa muatan tong gas untuk membantu penunggang motosikal yang terbabas di laluan kecemasan, bertukar tragedi apabila lorinya dirempuh dari belakang oleh sebuah lagi lori yang membawa muatan simen, malam tadi.
Rempuhan itu menyebabkan lori dengan muatan tong gas itu bergerak ke depan lalu melanggar penunggang dan pembonceng motosikal yang terbabas itu.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sembilan, Supt Ibrahim Mohd Abdul Kadir berkata, dalam kejadian pukul 11.00 malam di kilometer 269.9 Lebuhraya Utara-Selatan arah Utara itu turut mengorbankan pemandu lori simen berkenaan.
Mangsa yang maut dikenali sebagai Muhammad Idham Baharudin, 20, penunggang motosikal Yamaha Y15 dan pemboncengnya Nurul Farah Safwannah Abdul Rashid, 20, dan pemandu lori simen V. Ravendran, 26 tahun.
Ibrahim berkata, kemalangan berlaku ketika sebuah Yamaha Y15 yang ditunggang seorang lelaki bersama seorang pembonceng dalam perjalanan dari arah Seremban menuju Kajang.
"Apabila tiba di tempat kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke arah lorong kecemasan lebuh raya.
"Selepas kemalangan, seorang penunggang motosikal jenis Honda EX5 dan pemandu lori jenis Scania membawa muatan tong gas dari arah yang sama telah berhenti di lorong kecemasan untuk memberi bantuan.
"Kemudian sebuah lori jenis Volvo dipandu seorang lelaki yang membawa muatan simen dari arah yang sama telah melanggar bahagian belakang lori yang berhenti di lorong kecemasan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Ibrahim berkata berikutan itu, lori yang membawa muatan tong gas itu bergerak ke hadapan dan terlanggar mangsa kemalangan dan penunggang EX5 yang berhenti untuk membantu.
"Kemalangan ini telah menyebabkan tiga mangsa iaitu penunggang dan pembonceng motosikal Yamaha Y15 dan pemandu lori membawa muatan simen meninggal dunia di tempat kejadian.
"Bagaimanapun penunggang motosikal EX5 mengalami luka di bahagian kaki manakala pemandu lori tong gas masih belum dapat dipastikan kecederaan yang dialami.
"Akibat pelanggaran itu juga, telah menyebabkan tong gas jatuh bertaburan di beberapa lorong di lokasi kejadian," katanya.
Ibrahim berkata kes disiasat di bawah Sek.41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Semalam, tiga dilaporkan maut dalam kemalangan melibatkan empat kenderaan, termasuk dua motosikal, di KM 269.9, PLUS arah utara dari Bandar Ainsdale ke Nilai sebelum Hentian Rehat dan Rawat Seremban.
-- BERNAMA
#lori simen
#Muhammad Idham Baharudin
#Nurul Farah Safwannah Abdul Rashid
#pemandu lori tong gas
#penunggang motosikal
#Ravendran