Hasrat Adibah Noor terbit album jazz tidak kesampaian - Mokhzani
Amir Hamzah Nordin
Jun 19, 2022 12:43 MYT
Jun 19, 2022 12:43 MYT
JERANTUT: Hasrat Allahyarham Adibah Noor untuk menerbitkan album jazz bersama Big Band, Radio Televisyen Malaysia (RTM) di bawah kendalian Datuk Mokhzani Ismail tidak kesampaian.
Penyanyi lagu "Terlalu Istimewa", Adibah Noor Mohamed Omar, 51, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Gleneagles akibat penyakit kanser ovari tahap empat, jam 7.30 malam, semalam.
Pemergian Allahyarham turut mengejutkan Mokhzani kerana pada Disember 2021, Allahyarham ada menghubungi beliau berbincang dan bercadang menerbitkan lagu-lagu genre jazz.
Mokhzani berkata, beliau bersetuju untuk menerbitkan album dengan lima buah lagu kerana sudah agak lama genre jazz Big Band tidak dikeluarkan.
“Adibah juga bersetuju untuk menulis lirik lagu baharu ciptaan saya untuk album tersebut dan bersedia untuk masuk studio Julai ini.
“Oleh kerana Adibah mahu memberi fokus untuk program realiti Gegar Vaganza 8 (GV8) awal tahun ini, perancangan tertunda dan saya pula bersara,” katanya ketika dihubungi pagi ini.
Katanya, setelah beliau diberi peluang menyambung perkhidmatan sebagai pengarah muzik, hasrat terbit album yang tertangguh itu membugar semula.
“Saya cuba hubungi Adibah melalui aplikasi WhatsApp tetapi arwah mendiamkan diri.
"Mungkin pada masa itu Adibah sudah tidak terdaya, kerana mahu berehat sambil merahsiakan penyakitnya.
“Hari ini, saya di kampung (Perlis), saya terkejut mendengar perkhabaran Adibah sudah tiada, saya sedih atas kehilangan seorang permata negara,” katanya.
Katanya, beliau telah menggubah tiga buah lagu berjudul "Sang Rembulan", "Hujan" dan "I Love You For a Sentimental Reason" untuk Adibah.
Mencerita perjalanan awal Adibah dalam bidang seni suara, Mokhzani berkata, beliau sering membawa Allahyarham untuk mengadakan persembahan termasuk di Lembah Klang.
“Pada awal pembabitan Adibah yang boleh menyanyi lagu pelbagai genre, memberi peluang kepada arwah meningkat daripada penyanyi biasa kepada penyanyi yang menyanyi lagu sendiri dan seterusnya menjadi pengacara.
“Awalnya saya bayar dia hanya RM500 setiap persembahan, kemudian setelah dia menjadi lebih popular, dia dibayar sehingga RM10,000,” katanya.
Kata Mokhzani, Adibah juga tidak kedekut mempelawa beliau untuk membuat persembahan bersama-sama dan sanggup berkongsi rezeki.
“Selepas persembahan, dia (Adibah) membayar kepada saya, kalau bayaran kecil, dapat sedikit dan kalau bayaran besar dapat banyak, dia kata ada rezeki lebih, kita dapat lebih.
“Dia juga suka berseloroh, seronok bekerja dengannya yang juga bersikap profesional dalam kerja.
"Kami menjangka akan masuk studio untuk album ini pada Julai tahun ini, namun Allah lebih menyayanginya.
"Moga arwah ditempatkan bersama orang yang beriman,” katanya.