Hasil siasatan kebakaran HSA dibawa ke Kabinet sebelum didedah kepada umum
Bernama
November 25, 2018 21:59 MYT
November 25, 2018 21:59 MYT
Hasil siasatan berhubung kebakaran wad Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Aminah (HAS) di sini dua tahun lepas akan dibentangkan kepada Kabinet terlebih dahulu sebelum didedahkan kepada umum.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata sebarang hasil siasatan harus dibentangkan kepada kabinet terlebih kerana ia dijalankan oleh sebuah jawatankuasa khas di bawah Kabinet.
"Saya mohon maaf kerana pasti semua pihak menanti-nantikan laporan dan pendedahan itu hari ini tetapi saya tidak punya kedudukan dan punca kuasa untuk mendedahkannya, ia perlu dibentangkan kepada Kabinet sebelum didedahkan," kata kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Hospital Permai di sini, lewat petang ini.
Susulan kebakaran di wad ICU itu pada 25 Oktober 2016 yang mengorbankan nyawa enam pesakit, Menteri Kesihatan pada masa itu, Datuk Seri Dr S.Subramaniam dengan sokongan kabinet melantik satu jawatankuasa khas pada Disember 2016 bagi mendapatkan laporan penuh insiden itu.
Sementara itu, Dr Dzulkefly berkata beberapa usaha penambahbaikan dibuat ke atas HSA sejak insiden kebakaran termasuk menggantikan kapasitor dan 'ballast' untuk lokasi kritikal dan tidak kritikal, menambah bilangan pemadam api sedia ada, menaiktaraf sistem 'hose reel' di bangunan induk dan membaiki sistem amaran api di sesetengah bangunan termasuk yang menempatkan wad diraja.
Selain itu, menurutnya kementerian juga meluluskan RM29.77 juta untuk kerja-kerja pemasangan 'sprinkler', pendawaian, menaiktaraf sistem perangkap kilat dan lain-lain dalam Rancangan Malaysia Kesebelas (RMK11).
"Ia adalah antara status terkini HSA. Untuk perancangan sama ada ICU itu akan dikembalikan peranannya seperti sebelum ini ataupun sebaliknya, ia masih sedang dibincangkan, malah sudah ada cadangan awal untuknya, bagaimanapun nanti kita akan beritahu," katanya.
Dalam perkembangan lain Dr Dzulkefly berkata pihaknya sedia menyiasat dakwaan wujudnya pusat kecantikan yang menawarkan perkhidmatan pemutihan gigi secara haram dalam negara sehingga dikhuatiri boleh membahayakan kesihatan pengguna.
"Bagaimanapun, setakat ini, tiada sebarang maklumat atau aduan tentang rawatan pemutihan gigi di klinik pergigian yang membahayakan kesihatan. Tetapi oleh kerana kita sudah mendapat tahu perkara ini jadi kita akan memerhati dan menyusul dengan tindakan," katanya sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendakwa ada pusat kecantikan di Lembah Klang dikesan menjalankan khidmat pemutihan gigi secara haram.
Dr Dzulkefly berkata bahan pemutihan gigi dikawal oleh Biro Farmaseutikal Kebangsaan Malaysia, Kementerian Kesihatan, berdasarkan peratus kepekatan Hydrogen Peroxida, oleh itu mana-mana pengguna yang berhasrat untuk mendapatkan rawatan pemutihan gigi diminta berurusan dengan doktor pergigian berdaftar.
Menurutnya tahun ini tiga Sijil Pengamalan Tahunan ditarik balik oleh Majlis Pergigian Malaysia disebabkan kesalahan etika dan lain-lain.
-- BERNAMA