Hasil sayuran menurun, import dilihat alternatif terbaik
Nazialita Geynna Maharan
Mac 19, 2016 22:28 MYT
Mac 19, 2016 22:28 MYT
Kerajaan akan meningkatkan kadar jumlah import sayur-sayuran daripada luar negara untuk menghadapi fenomena panas El Nino di Malaysia kebelakangan ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata pihaknya telah melihat kesan kekurangan sumber terhadap penggunaan dan pemakanan sayuran daripada masyarakat setempat.
Katanya, tahap kejatuhan pengeluaran sayur di Malaysia bagaimanapun masih berada dalam tahap terkawal dan belum mencapai peringkat kritikal.
"Sekiranya kadar pengeluaran sayur tempatan itu kurang daripada permintaan orang ramai maka kita akan mengadakan jumlah import yang lebih besar.
"Misalnya keadaan El Nino sudah beransur pulih maka kita akan kembali ke rutin transaksi sayuran secara normal iaitu daripada petani jati kita sendiri," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke 12 bagi Koperasi Ikan Air Tawar, Kawasan Kg Gajah Berhad (NELDA) di Dewan Mesyuarat Pusat Latihan UiTM Kg. Gajah.
Jelasnya pihaknya akan sentiasa memantau kuantiti sayur semasa dan memahami jumlah kekurangan sebenar menurut kehendak orang ramai.
Katanya, petani tempatan mempunyai masalah dalam penanaman sayur berikutan cuaca terik .
"Kita belum mencapai zon kritikal dalam pengeluaran hasil sayur ini bagaimanapun, stok masih lagi terkawal dan masih berkualiti tinggi.
"Apa yang paling penting adalah permintaan rakyat setempat dan kita akan melihat ke arah itu bagi keputusan meningkatkan jumlah import sayuran ke Malaysia,"ujarnya lagi.
#cuaca panas jejas hasil pertanian
#El Nino
#Fenomena cuaca panas
#hasil pertanian
#hasil sayuran
#Tajuddin Abdul Rahman