Hasil memberangsangkan Program Transformasi adalah untuk rakyat
Astro Awani
Mei 17, 2015 21:11 MYT
Mei 17, 2015 21:11 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengajak semua pihak membuka mata pada pencapaian pentadbirannya sekali gus menepis dakwaan bahawa Barisan Nasional mungkin berdepan kekalahan dalam pilihan raya akan datang berikutan tidak melakar rekod pencapaian cemerlang.
Melalui blog NajibRazak.com, beliau menjelaskan banyak perancangan negara kini sedang berjalan dengan baik serta membuahkan hasil.
Najib berkata, walaupun negara sedang berdepan cabaran semasa berikutan kejatuhan harga minyak mentah yang melemahkan Ringgit, keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara mengalami pertumbuhan sekitar 5 hingga 6 peratus dan masih berada di landasan yang betul menuju negara membangun menjelang tahun 2020.
“Faktor ini di luar kawalan kita namun kita mampu bertahan kerana memiliki asas ekonomi dan rizab yang baik hasil mempelbagaikan sumber pendapatan negara tanpa bergantung sepenuhnya kepada industri minyak,” jelas beliau.
Perdana Menteri dalam blognya antara lain turut menyentuh soal kejayaan negara memperbaiki kedudukan dalam Indeks Transparency International khusus dalam memerangi rasuah, pencapaian pelaburan asing, memperbaiki nisbah hutang kepada KDNK, melonjakkan indeks kemudahan menjalankan bisnes, pengurangan defisit, dan peningkatan nilai perdagangan serta rawatan kesihatan.
“Selain itu, kunci kepada unit perumahan PR1MA juga sudah disampaikan. Jambatan Pulau Pinang Kedua sudah disiapkan, projek MRT Fasa 1 sudah 60 peratus siap, dan ekonomi negara sejak lima tahun lalu telah menawarkan 1.5 juta peluang pekerjaan baharu hingga menjadikan kadar pengangguran di negara ini antara yang terendah di dunia,” jelas Najib.
Beliau turut menyebut tentang kemakmuran koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia, perkembangan kemajuan wilayah Kuala Lumpur, projek Transit Bas Rapid Fasa 1 yang bakal siap, pembinaan Lebuhraya Pan Borneo, pelan ekonomi Sabah dan Sarawak serta projek kereta api laju.
“Semua ini merupakan projek, inisiatif dan usaha di bawah pentadbiran saya untuk memajukan negara ini. Inilah hasil Program Transformasi sejak lima tahun lalu dan semua ini penting untuk rakyat,” ujar beliau.
Najib berkata, walaupun semua orang bebas untuk mengkritik dirinya dan menyenaraikan ‘kegagalannya’, adalah penting dan menjadi suatu tindakan yang adil untuk melihat semua pencapaian yang telah diraih sepanjang enam tahun lalu.
“Jika saya mendapat sokongan yang diperlukan untuk meneriuskan program-program transformasi, kita akan berjaya. JIka kita bersatu dam hentikan pertelingkahan dalaman, kita akan berjaya. JIka kita fokusd kepada politik membina, kita akan berjaya.
“Jika kita fokus kepada kerja berbanding percaya dan menyebarkan khabar angin serta berita tidak benar, kita akan berjaya,” kata Najib.