Hasil audit khas CAAM terhadap MAG dibentang di Kabinet Rabu ini - Loke

Bernama
Ogos 26, 2024 06:00 MYT
Loke berkata beliau akan membentangkan penemuan daripada audit khas ini pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini. - Foto fail/Astro AWANI/Shahir Omar
PUTRAJAYA: Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) telah menjalankan audit khas ke atas Malaysia Aviation Group (MAG) sebagai tindak balas terhadap gangguan terkini melibatkan perkhidmatan Malaysia Airlines.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata beliau akan membentangkan penemuan daripada audit khas ini pada mesyuarat Jemaah Menteri Rabu ini kerana kerajaan sangat bimbang terhadap perkara tersebut.
"Kami memandang serius dengan apa yang berlaku di MAG. Saya telah meminta Pengarah Urusan Kumpulan MAG Datuk Kapten Izham Ismail supaya mengambil tindakan sewajarnya agar operasi mereka menjadi lebih lancar dengan mengutamakan keselamatan," katanya pada sidang media di sini pada Isnin.
MAG dalam kenyataan Sabtu lalu mengumumkan rancangan mengurangkan rangkaian penerbangannya untuk sementara waktu mulai 19 Ogos lalu hsehingga Disember.
Langkah itu juga sebagai susulan kepada gangguan penerbangan pada minggu 19 Ogos lalu yang membabitkan perkhidmatan Malaysia Airlines, Firefly dan Amal.
Loke berkata laporan penuh mengenai kelewatan, pembatalan, pengurangan penerbangan akan merangkumi butiran seperti usia pesawat dan semua aspek relevan insiden tersebut.
Katanya MAG telah mengambil langkah-langkah untuk menangani cabarannya antaranya kesukaran rantaian bekalan alat ganti pesawat, kekurangan tenaga kerja peyelenggaraan dan sebagainya.
Loke menegaskan bahawa isu teknikal yang serupa dialami MAG juga berlaku kepada syarikat penerbangan lain dan menekankan bahawa tindakan yang diambil adalah terutamanya untuk memastikan keselamatan penumpang.
Menurutnya syarikat penerbangan terpaksa menanggung kos yang tinggi jika penerbangan lewat, dilencongkan atau patah balik ke lapangan terbang.
"Kerugian kepada syarikat penerbangan tetapi tindakan itu diambil demi keselamatan penumpang," katanya.
-- BERNAMA
#CAAM #audit khas #MAG #gangguan #Malaysia Airlines #Anthony Loke
;