Hashtag #BeStrongPM muncul di media sosial
Madiha Abdullah
Julai 22, 2016 21:30 MYT
Julai 22, 2016 21:30 MYT
Hashtag #BeStrongPM muncul dalam susur masa media sosial khususnya Twitter pada hari ini, yang rata-rata turut disertai mesej ringkas kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Penggunaan hashtag itu dipercayai susulan kenyataan Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Loretta Lynch yang memaklumkan bahawa beberapa individu didapati menyalahgunakan dana syarikat pelaburan strategik 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hashtag #BeStrongPM yang mula trending sejak tengah hari tadi, walau bagaimanapun tidak dapat dipastikan pihak yang memulakannya mahupun mengetahui tujuan sebenarnya.
Berikut adalah antara mesej di Twitter yang dimuat naik oleh pengguna:
Pengguna media sosial di atas menggunakan hashtag tersebut sebagai satu bentuk solidariti mereka terhadap Perdana Menteri berhubung isu yang kini hangat diperkatakan.
Pada Rabu, Lynch dalam satu sidang media di AS memaklumkan bahawa beberapa individu didapati menyalahgunakan dana 1MDB dengan memasukkan sejumlah dana ke akaun bank peribadi mereka.
Lynch turut berharap dana yang disalahgunakan itu akan dibawa kembali ke Malaysia.
Perdana Menteri dalam reaksinya mengulas bahawa kes tuntutan yang difailkan oleh Jabatan Keadilan (DOJ) AS merupakan tindakan sivil dan bukan satu tindakan jenayah.
Tegasnya, ia juga terhad kepada nama-nama yang disebutkan di dalam laporan DOJ itu sendiri.
Pada Jumaat, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalinkan kerjasama dengan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berhubung laporan tersebut.