Harun Taib tidak tolak perwakilan bawa usul kaji tahaluf siyasi

Irwan Muhammad Zain
September 24, 2013 00:00 MYT
Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib tidak menolak kemungkinan para perwakilan akan membawa usul supaya mengkaji semula tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat.
Utusan Malaysia melaporkan Harun berkata demikian ketika mengulas reaksi ahli Pas yang mengharapkan pemimpin parti itu menyokong saranan yang dibuatnya sebelum ini demi kebaikan dan kelansungan parti tersebut.
“"Kita tengoklah nanti, bergantung kepada keadaan dan sekiranya keadaan memerlukan, usul mengenainya akan dibawa perwakilan dalam Muktamar Pas nanti," katanya.
Harun juga dilaporkan terharu dengan reaksi ahli akar umbi Pas yang menyokong saranan yang dibuat ketika menyampaikan ucaptama Multaqa Ulama Pas Se-Malaysia baru-baru ini.
Katanya ketika banyak kecaman dilempar terhadapnya, masih ada yang menyokong saranannya itu demi kebaikan Pas.
Harun dalam ucap utama ketika Multaqa Ulama Pas Se-Malaysia di Kedah baru-baru ini menyarankan agar Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa Pas Pusat menyemak semula tahaluf siyasi dalam pakatan pembangkang terutama bersama PKR.
Bagaimanapun, saranan Harun ditolak Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menegaskan, parti itu akan tetap bersama sekutunya sambil menyifatkannya sebagai satu pakatan yang kukuh dan baik untuk diteruskan.
Sebelum ini, beberapa ahli Pas termasuk ahli Pas cawangan Taman Kucai di Kulim, Kedah, Mohd. Safuan Sulaiman meluahkan kekecewaannya kerana perkara sebaliknya berlaku selepas nasihat serta saranan Harun yang dibuat demi kebaikan parti itu seolah-oleh tidak diendahkan pemimpin-pemimpin Pas.
Mengulas lanjut, Harun dilaporkan berkata saranan beliau supaya tahaluf siyasi dalam Pakatan Rakyat dikaji semula bertujuan untuk mengukuh dan memperkasakan hubungan serta kerjasama antara tiga parti dalam gabungan tersebut.
"Seperti yang saya tegaskan sebelum ini, tujuan saya supaya tahaluf siyasi dikaji semula bukan bermakna Pas akan keluar daripada pakatan.
“Jangan salah tafsir kenyataan saya, apa yang saya maksudkan adalah untuk memperkasa kerjasama antara Pas dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP dalam pakatan," katanya.
#harun taib #PAS #tahaluf siyasi #ulama