Harumanis akan dipasarkan di 109 outlet - Ketua Pengarah FAMA
Bernama
April 15, 2019 17:21 MYT
April 15, 2019 17:21 MYT
Mempelam atau mangga Harumanis akan dipasarkan di 109 outlet di seluruh negara termasuk Singapura yang merupakan pasaran besar ikon Perlis itu bagi mengelak lambakan semasa Ramadan, kata Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Ketua Pengarahnya, Datuk Ahmad Ishak berkata keadaan dijangka kritikal pada minggu kedua dan ketiga Ramadan berikutan hasil pengeluaran yang banyak dan boleh menjejaskan harga pasaran.
Katanya bagi mengatasi masalah itu, FAMA merancang strategi pemasaran termasuk memperkenalkan 21 produk 'Perlis Singanture' berasaskan mempelam.
"Strategi ini antaranya menggunakan media sosial untuk memperkenalkan Harumanis, meningkatkan penguatkuasaan peraturan dan mempamerkan tulisan nama mangga yang betul oleh penjual bagi mencegah penipuan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan majlis menandatangani kontrak Jual Beli Mangga Perlis Sunshine, Harumanis dan Buah-Buahan Bermusim antara FAMA dan pengusaha projek peringkat negeri di sini pada Isnin.
Turut hadir Setiausaha Kerajaan Perlis Azman Mohd Yusof.
Menurut Ahmad, ladang harumanis di Perlis adalah seluas 1,191 hektar namun hanya 770 hektar yang mengeluarkan 1,800 metrik tan bagi musim ini bermula minggu keempat April ini sehingga Jun hadapan.
Katanya FAMA akan memastikan pengusaha ladang Harumanis mematuhi piawaian pengeluaran supaya kualiti Harumanis terjamin dan sesuai dengan harganya yang tinggi berbanding mempelam jenis lain yang berada dalam pasaran.
FAMA menetapkan harga lantai RM15 bagi gred premium, gred A RM13 dan gred B RM13 sekilogram manakala Perlis Sunshine RM3.30 sekilogram, kata Ahmad.
Beliau berkata agensi itu akan menganjurkan karnival promosi Harumanis sebagai juadah berbuka puasa di Medan MARA Kuala Lumpur yang dilalui kira-kira 30,000 orang dalam sehari, dari 1 hingga 3 Mei ini.
-- BERNAMA
#Agrikultur
#FAMA
#Harumanis
#ketua pengarah fama
#mangga
#mempelam
#musim harumanis
#musim mangga
#Perlis