Hartanah baharu masih pilihan rakyat Malaysia

Astro Awani
April 19, 2016 23:52 MYT
Majoriti pemilik rumah masih cenderung membeli daripada pasaran hartanah utama pada tahun 2016 meskipun pilihan pasaran sekunder kian bertambah. - Gambar hiasan
Biarpun terdapat lambakan hartanah sekunder dalam pasaran, sebanyak 36 peratus rakyat Malaysia masih berpendapat rumah baharu atau rumah dari pasaran primer adalah pilihan yang lebih baik untuk mereka.
Demikian menurut satu hasil kajian terkini yang dijalankan oleh PropertyGuru.com, sebuah laman hartanah paling berpengaruh yang menawarkan pelbagai iklan dan maklumat eksklusif berkaitan sektor hartanah.
Berdasarkan Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru, sebahagian besar bakal pembeli rumah masih menggemari hartanah baharu sebagai kediaman pilihan pertama mereka berbanding 17 peratus responden yang akan memilih hartanah sekunder.
Hakikatnya, seorang dalam setiap dua orang pembeli akan membuat pilihan untuk mengunjungi bilik pameran para pemaju daripada menggunakan perkhidmatan agen hartanah.
Laporan penuh kajian kini boleh dimuat turun dari pautan ini: http://goo.gl/x5DQIY.
Meskipun tawaran menarik melambak di pasaran sekunder dan terdapat peluang untuk melihat serta meninjau sendiri hartanah tersebut, bakal pembeli juga telah menyenaraikan sejumlah faktor yang mendorong mereka membeli rumah baharu.
Salah satu faktornya termasuk pakej jualan menarik yang ditawarkan oleh pihak pemaju. Lebih-lebih lagi, pakej ini menyasarkan golongan pembeli muda dan berpendapatan sederhana yang mungkin tidak mempunyai modal atau wang simpanan yang mencukupi untuk membiayai 10 peratus deposit pembelian rumah, yuran guaman, kos pemindahan dan sebagainya.
“Seperti yang telah dinyatakan, kebanyakan rakyat Malaysia khususnya golongan berpendapatan sederhana kini berada dalam situasi yang tidak memberangsangkan - harga hartanah yang melambung tinggi, masalah kekurangan wang simpanan untuk membayar deposit dan gagal mendapatkan pinjaman.
Justeru, tidak hairanlah apabila kebanyakan pembeli yang berumur 35 tahun ke bawah akan tertarik dengan tawaran pakej jualan oleh pihak pemaju.
Pakej-pakej ini telah dirangka untuk mengurangkan kos pembayaran deposit dan membolehkan mereka merealisasikan impian memiliki rumah.
Ini juga merangkumi pelbagai insentif lain seperti peralatan rumah dan perkakas siap yang sekali gus menjadikan tawaran tersebut lebih menarik,” jelas Pengurus Negara PropertyGuru Malaysia, Sheldon Fernandez.
Pembiayaan
Menurut Kajian Sentimen PropertyGuru lagi, kebanyakan rakyat Malaysia iaitu 47 peratus responden memilih untuk mendapatkan pembiayaan sehingga 90 peratus, manakala 12 peratus responden pula berjaya memperoleh 100 peratus pembiayaan pinjaman perumahan.
Sebanyak 25 peratus pembeli rumah pula memperoleh pembiayaan pinjaman mencecah 70 hingga 80 peratus.
Sementara itu, sebanyak 47 peratus responden mengakui belum memanfaatkan dana daripada Akaun 2 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi membeli rumah manakala 31 peratus pula telah menggunakan simpanan KWSP mereka sekali.
Sebanyak 11 peratus responden pula telah memanfaatkan dana KWSP lebih daripada sekali untuk pembelian hartanah manakala 11 peratus pula belum layak untuk menggunakannya.
Kajian tersebut juga menyentuh tentang faktor-faktor lain yang disenaraikan oleh para pembeli. Antaranya termasuk masalah penilaian hartanah oleh pihak bank yang berkurangan ketika membuat permohonan pinjaman, kurang isu penyelenggaraan, dan lebih mudah untuk berurusan dengan satu pihak sahaja berbanding mendapatkan perkhidmatan ejen hartanah sebenar atau cuba tawar-menawar dengan pihak pembeli.
“Biasanya kita akan risau sama ada telah berunding untuk mendapatkan harga yang terbaik. Lebih-lebih lagi jika ini baru kali pertama kita membeli rumah. Adakah tuan rumah ataupun ejen menyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan saya? Tempoh ini paling baik untuk kita belajar daripada apa jua kesilapan,” tambah Fernandez.
Semakan sewajarnya disyorkan sebelum membuat pembelian hartanah baharu: http://www.propertyguru.com.my/projectreviews
Lakukan semakan
Walaupun urusan pembelian hartanah baharu nampaknya lebih mudah dan tidak mendatangkan banyak masalah, pihak pembeli masih dinasihati agar melakukan semakan sewajarnya seperti mengkaji selidik serta membandingkan produk berbeza dalam kategori yang sama dan ini merangkumi faktor harga bagi setiap kaki persegi dan sebagainya.
Lebih penting lagi, para pembeli juga dinasihati agar mendapatkan maklumat daripada sumber bebas pihak ketiga termasuk mengikuti ruangan Ulasan Projek Hartanah Baharu menerusi laman http://www.propertyguru.com.my/projectreviews.
Ditulis daripada perspektif seorang pengguna, ruangan Ulasan Projek Hartanah Baharu menawarkan maklumat menyeluruh, tidak bias dan berdasarkan sudut pandangan pembeli. Ini merangkumi perbandingan harga hartanah bagi setiap kaki persegi, kos dan maklumat penting berkaitan kawasan sekitar seperti keadaan trafik, kemudahan awam, tahap keselamatan dan gambaran kehidupan sebenar di lokasi tertentu.
Setakat hari ini, lebih daripada 200 ulasan tentang projek-projek hartanah sedia ada dan baharu telah dipaparkan. Angka ini dijangka mencecah 400 ulasan menjelang penghujung tahun ini dan merangkumi hampir kesemua projek hartanah yang dilancarkan sepanjang tahun 2016.
Laporan Kajian Sentimen Pasaran Hartanah Malaysia PropertyGuru ini adalah usaha berterusan untuk menilai dan memberi gambaran jelas tentang perubahan pasaran hartanah serta persepsi pengguna tentang pasaran hartanah tempatan.
Ini merupakan satu-satunya kajian tempatan bebas yang dijalankan serentak dengan kajian seumpamanya di Singapura, Thailand dan Indonesia. Usahasama antara PropertyGuru dan Added Value-Saffron Hill yang merupakan sebuah agensi penyelidikan profesional bebas di Singapura ini bertujuan untuk memantap dan mengukuhkan kredibiliti hasil kajian.
Matlamat Kajian Sentimen Hartanah ini diharapkan dapat membantu golongan pengguna dan ejen hartanah memperoleh gambaran jelas tentang pasaran hartanah tempatan sekali gus mendorong mereka membuat keputusan pelaburan dan perniagaan yang lebih bijak.
Laporan kajian penuh kini boleh dimuat turun dari pautan: http://goo.gl/x5DQIY.

Kumpulan PropertyGuru merupakan antara laman hartanah yang berpengaruh di Asia. Setiap bulan, laman ini digunakan oleh lebih 16 juta pembeli hartanah yang melayari lebih 116 juta halaman hartanah.

#pembiayaan pinjaman #pemilikan hartanah #projek perumahan #PropertyGuru