Hartal Doktor Kontrak: Penambahan 4,186 jawatan tetap di KKM, satu perkembangan positif

Fareez Azman
Februari 11, 2022 19:05 MYT
Menurut Jurucakap Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal, perkembangan positif itu dijangka dapat menyelesaikan isu doktor kontrak yang berlanjutan sejak tahun 2016. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Pengumuman Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkenaan 4,186 jawatan tetap tambahan akan diwujudkan di kementerian itu menjelang Jun 2022 disifatkan sebagai satu tindakan yang ditunggu-tunggu oleh kumpulan doktor kontrak di seluruh negara.
Jelas jurucakap Sekretariat Gerakan Hartal Doktor Kontrak, Dr Mustapha Kamal pengambilan itu memberi suntikan moral kepada petugas barisan hadapan itu untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan mendapatkan masa depan lebih cerah dalam bidang perubatan di negara ini.
"Kita lihat satu perkembangan positif daripada YB Menteri Khairy Jamaluddin sendiri, kita lihat ini satu perkembangan yang positif daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bekerjasama dengan MMA dan MMI yang turut hadir dalam town hall semalam.
"Jadi bagi kami ini adalah satu langkah ke hadapan untuk doktor kontrak, jadi dengan perjawatan tetap ini makin ramai doktor kontrak yang dapat masuk jawatan tetap dan akan terus ke program kepakaran dan seterusnya menepati aspirasi YB Khairy Jamaluddin untuk menambah lagi pakar," jelasnya ketika ditemubual Astro AWANI pada Jumaat.
Minta diperhalusi kriteria
Tambah Dr Mustapha, bagaimanapun pihaknya meminta agar KKM dan Menteri Kesihatan sendiri agar dapat memperhalusi kriteria perjawatan tetap yang dimaklumkan itu.
Meskipun hanya 4,186 penjawatan tetap tambahan yang diumumkan, namun jelasnya ia merupakan langkah pertama dalam menyelesaikan isu doktor kontrak yang berlanjutan sejak tahun 2016.
"YB KJ dalam Parlimen ada menyebut 23,077 doktor kontrak, sekarang dengan penjawatan tetap 4,000 masih tidak cukup, tapi apa yang dia dah janjikan dan mesyuarat bersama jemaah menteri, dan ia telah disahkan.
"Jadi kami fikir ini adalah satu langkah ke hadapan dan melihat ini sebagai satu langkah positif, kami juga harapkan lebih banyak berita gembira akan diumumkan selepas ini," ujarnya lagi.
Mengulas lanjut berhubung keputusan kerajaan itu, tambah Dr Mustapha, dia yakin isu kekurangan doktor pakar dalam negara juga dapat diselesaikan.
Kekurangan doktor pakar boleh diselesaikan
Penambahan itu katanya bukan hanya mampu mengurangkan bebanan ditanggung doktor pakar, malah rakyat juga ujarnya dapat menikmati perkhidmatan perubatan yang lebih baik.
"Kita tahu rakyat Malaysia amat mengharapkan sektor kesihatan awam, jadi kalau tiada pakar-pakar ini, dan mereka terpaksa ke klinik pakar akan mengambil masa lama.
"Untuk jumpa doktor pakar temu janji mengambil masa enam hingga lapan bulan, jadi dengan bantuan perjawatan tetap ini, ia membuka banyak peluang dan dapat menyelesaikan 80-90 peratus masalah itu," jelasnya lagi.
4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di KKM tahun ini
Semalam, Khairy dalam kenyataannya memaklumkan jemaah menteri bersetuju supaya 4,186 jawatan tetap tambahan diwujudkan di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada tahun ini.
Jelasnya, jumlah itu melibatkan perlantikan seramai 3,586 pegawai perubatan, 300 pegawai pergigian dan 300 pegawai farmasi.
#hartal doktor kontrak #KKM #Khairy Jamaluddin #Penjawatan tetap #Doktor #pakar #masalah
;