Hartal Doktor Kontrak: PDRM atur penugasan pasukan pemantauan SOP - KPN

Astro Awani
Julai 25, 2021 23:35 MYT
Acryl Sani berkata, penugasan pasukan pemantau SOP bagi memantau protes tersebut untuk memastikan SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) dipatuhi. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan mengatur penugasan pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) bagi memantau protes melibatkan doktor kontrak yang dijadual pada Isnin.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, ia bagi memantau aktiviti protes tersebut untuk memastikan segala SOP Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang sedang berkuat kuasa dipatuhi.
"PDRM mengambil maklum gerakan oleh sebilangan doktor yang berhasrat menganjurkan protes berkenaan di seluruh negara.
"Bagaimanapun, PDRM setakat ini tidak menerima maklumat bahawa protes berkenaan akan menjejaskan ketenteraman awam," katanya dalam satu kenyataan pada malam Ahad.
BACA: Isu doktor kontrak: Hartal 26 Julai diteruskan untuk desak tuntutan dipenuhi - Penganjur
Sebelum ini, Gerakan Doktor-Doktor Kontrak Malaysia menegaskan, Hartal Doktor Kontrak atau mogok umum yang dijadual pada 26 Julai akan diteruskan untuk mendesak kerajaan menunaikan tuntutan golongan berkenaan.
Jurucakapnya, Dr Umar Baraka menyifatkan ia adalah permulaan kerana lebih banyak tindakan sebegitu akan dilakukan sekiranya isu tersebut masih tidak selesai.
BACA: Isu doktor kontrak: 'Lanjutan kontrak untuk beri masa pinda Akta Pencen' - Dr Noor Hisham
BACA: Hartal doktor kontrak: MMA ulangi pendirian tidak benarkan sebarang protes
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Jumaat lalu dilapor berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bersama kementerian serta agensi lain diarah merangka pelan komprehensif dan inklusif bagi menangani isu berkaitan kumpulan pegawai perubatan, pegawai pergigian dan pegawai farmasi lantikan kontrak.
Beliau berkata pelan tersebut perlu merangkumi tindakan segera, pelan jangka pendek, sederhana dan pelan jangka panjang.
#hartal #Doktor Kontrak #KKM #protes #PDRM #Malaysia #mogok umum
;