Hartal Doktor Kontrak 2.0 mungkin dibuat jika isu tidak diselesaikan - Sekretariat hartal
Hasimi Muhamad
Julai 30, 2021 17:06 MYT
Julai 30, 2021 17:06 MYT
KUALA LUMPUR: Gerakan Hartal Doktor Kontrak (HDK) tidak menolak kemungkinan akan mengadakan siri kedua gerakan tersebut selepas penganjuran kali pertama pada 26 Julai lalu.
Sekretariat gerakan itu dalam satu kenyataan berkata HDK 2.0 akan dibuat jika isu tuntutan mereka tidak diselesaikan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022.
"HDK menolak tawaran pemanjangan kontrak selama dua tahun tanpa rancangan yang jelas.
"Kami tetap dengan tuntutan kami dan akan meneruskan usaha untuk mendapatkan keadilan bagi semua doktor-doktor muda negara.
"Sehubungan dengan itu, kami akan terus memerhati dan telah membuat perancangan HDK 2.0 jika isu ini tidak diselesaikan dan dimasukkan dalam Belanjawan 2022," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Sebelum ini, HDK menuntut agar doktor kontrak dilaktik sebagai pegawai tetap dan mereka diberi peluang melanjutkan pelajaran.
Mengulas lanjut, sekretariat itu berkata pihaknya turut membantah semua ugutan dan intimidasi kepada rakan-rakan doktor kontrak yang diterima sebelum dan selepas hartal tersebut dijalankan.
Jelas gerakan itu, pihaknya akan memastikan janji yang dibuat Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba bahawa tiada tindakan tatatertib akan diambil ke atas peserta hartal ditunaikan dan dihormati oleh semua pihak.
Menyifatkan HDK 1.0 sebagai kejayaan buat doktor muda di negara ini, sekretariat hartal menambah isu yang dibawa bukan sekadar untuk kepentingan peribadi doktor, sebaliknya untuk kebaikan sistem kesihatan negara pada masa hadapan.
"Dengan hartal yang telah terlaksana, kami merayu agar pihak kerajaan dapat melihat perkara ini dengan serius dan dapat menangani isu ini dengan segera, tanpa gangguan kepada servis kesihatan negara.
"Kepada rakyat Malaysia tercinta, kami berbesar hati dengan sokongan anda kepada para doktor dan staf kesihatan lain yang melawan pandemik COVID-19 dan mengekalkan kelestarian sistem kesihatan Malaysia," kata kenyataan itu lagi.
Dalam perkembangan sama, sekretariat gerakan itu memaklumkan pihaknya sedang menubuhkan kesatuan sekerja bagi pihak doktor seperti Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) dan kesatuan-kesatuan lain seperti di bawah Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs).
Terdahulu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kerajaan bersetuju melanjutkan pelantikan secara kontrak pegawai perubatan dan pegawai pergigian untuk tempoh maksimum empat tahun ke atas.
Perdana Menteri berkata, ini termasuk mereka yang diterima bekerja mengikut pengajian kepakaran dalam tempoh dua tahun pertama kontrak masing-masing.
#cuepacs
#rakyat Malaysia
#hartal doktor kontrak
#Gerakan Hartal
#Hartal Doktor Kontrak 2 0
#HDK 2 0
#Sistem kesihatan Malaysia
#Tuntutan hartal doktor kontrak
#COVID-19
#PKP 3 0
#berita hari ini