'Harta Isa Samad belum disita' - Azam Baki
Muhafandi Muhamad
Ogos 16, 2017 15:20 MYT
Ogos 16, 2017 15:20 MYT
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) belum lagi menyita sebarang aset milik bekas Pengerusi Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV), Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad susulan serbuan di kediamannya malam tadi.
Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd Azam Baki berkata, SPRM masih menunggu hasil siasatan dan keterangan sebelum sebarang tindakan susulan diambil.
“Itu pun belum ditentukan bergantung kepada keterangan dan keputusan selepas perbincangan di buat saya perlu laporan lanjut dari pegawai penyiasat dan kita akan tentukan aset nak dibekukan atau
bagaimana,” kata Mohd Azam.
Beliau ditemui selepas majlis ikrar bebas rasuah Menteri Besar Kelantan dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri di sini hari ini.
Namun demikian, Mohd Azam tidak dapat memberi jaminan sama ada terdapat tangkapan lagi selepas ini.
Siasatan melibatkan isu pembelian dua buah hotel oleh Felda Investment Corp Sdn Bhd (FIC) dimulai sejak dua bulan dengan hampir 40 keterangan sudah diambil setakat ini.
Mohd Isa dikenakan perintah tahan reman selama lima hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung pembelian hotel oleh FIC.
Perintah reman dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Rendah Malaya Datuk Zainal Abidin Kamaruddin.
Mohd Isa ditahan ketika hadir di ibu pejabat SPRM Putrajaya pada jam 2.40 petang bagi membantu pembelian dua hotel oleh FIC antara tahun 2014 dan 2015.
Mohd Azam juga tidak mendedahkan nama dan kaitan ahli keluarga Mohd Isa dalam siasatan yang sedang dijalankan.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai rayuan berhubung pembatalan reman ke atas Exco Pulau Pinang, Phee Boon Poh bersama pengarah dan pengurus kilang haram, Mohd Azam menjelaskan SPRM kekurangan bukti berikutan pelepasan ketiga-tiga individu terlibat.
“Saya jangka tiada tangkapan lagi kerana kita dah tangkap tiga orang namun setakat ini kami kekurangan bukti yang jelas akibat pelepasan mereka namun MACC akan menjalankan siasatan untuk melengkapkan siasatan dan kita akan appeal (rayu) bergantung kepada DPP,” katanya.
Katanya, Pejabat Peguam Negara bersetuju untuk menfaikan rayuan terhadap keputusan sama ada esok atau lusa.
#Azam Baki
#Felda Global Ventures Holdings Berhad
#Felda Investment Corporation
#harta
#Mohd Isa Abdul Samad
#SPRM