Harith Iskander, Cecelia Yap dikompaun RM10,000
Astro Awani
Mac 5, 2025 20:17 MYT
Mac 5, 2025 20:17 MYT
MCMC mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap berhubung muat naik kandungan dan komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengenakan kompaun sebanyak RM10,000 setiap seorang terhadap pelawak Harith Iskander dan Cecelia Yap berhubung muat naik kandungan dan komen jelik berkaitan agama Islam di Facebook pada 18 Januari lalu.
Ringkasan AI
- MCMC mengenakan kompaun RM10,000 kepada Harith Iskander dan Cecelia Yap kerana memuat naik kandungan jelik berkaitan agama Islam di Facebook.
- Kandungan tersebut telah dipadam oleh Meta, manakala permohonan penutupan akaun mereka sedang dinilai.
- Tindakan dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta.
MCMC dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan tindakan itu dikenakan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan sebelum pindaan akta yang berkuat kuasa pada 11 Februari 2025.
Kandungan tersebut telah diturunkan oleh pihak Meta selepas didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook, manakala permohonan penutupan akaun kedua-dua individu kini dalam penilaian syarikat berkenaan.
"Selepas menerima permohonan daripada MCMC, Meta telah menurunkan kandungan tersebut setelah ianya didapati melanggar garis panduan komuniti Facebook.
"Selain itu, permohonan penutupan akaun Facebook milik kedua-dua individu terbabit juga telah dibuat. Permohonan tersebut kini dalam penelitian
dan penilaian pihak Meta," kata MCMC.
Dalam perkembangan lain, MCMC akan mengemukakan kertas siasatan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) esok berhubung satu video mempersendakan agama Hindu yang dimuat naik ke akaun TikTok milik stesen radio ERA FM.
Susulan kes itu, pihak pengurusan tertinggi Astro telah dipanggil semalam, dan siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
"Satu kertas siasatan dibuka di bawah seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, berdasarkan peruntukan selepas pindaan akta.
"Rakaman percakapan pihak terlibat dibuat bagi membantu siasatan," kata MCMC lagi.
MCMC turut menyerahkan Notis Niat Penggantungan Lese kepada pemegang lesen stesen radio ERA FM, dengan tempoh 30 hari diberikan bagi mengemukakan maklum balas sebelum sebarang tindakan lanjut diambil.