Harimau mati dilanggar treler diawet
Bernama
Disember 14, 2023 22:54 MYT
Disember 14, 2023 22:54 MYT
IPOH: Bangkai harimau belang yang yang mati dilanggar sebuah treler, di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung Gopeng pada 9 Nov, kini sedang diawet.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata proses tersebut, sedang dilakukan di Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai dan akan mengambil masa kira-kira lima bulan, untuk disempurnakan sepenuhnya.
"Kita ambil langkah untuk mengawet bangkai harimau tersebut untuk pelbagai tujuan, termasuk pameran kepada khalayak umum.
"Proses ini mengambil sedikit masa, kerana ia perlu dilakukan secara berhati-hati bagi memastikan spesimen yang diawet, kekal cantik dan tidak rosak bagi tempoh jangka panjang," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Selain itu, Yusoff berkata pihaknya masih menjalankan siasatan bagi memburu beberapa individu yang mencabut misai harimau belang berkenaan.
"Usaha (siasatan) ini masih giat dijalankan dengan unit khas (Perhilitan) di Kuala Lumpur, untuk mengenal pasti pelaku yang mencabut misai harimau tersebut, serta perakam video tersebut," katanya.
Dalam perkembangan lain, beliau menafikan kehadiran harimau belang di ladang kelapa sawit berhampiran Taman Dovenby Fasa 2, Sungai Siput hari ini, sebaliknya ia seekor babi hutan berdasarkan pengecaman tapak kaki yang dilakukan pihaknya.
Yusoff berkata meskipun tidak memasang perangkap, namun pemantauan akan terus dilakukan bagi memastikan tiada perkara di luar jangkaan berlaku.
"Pemantauan tetap dilakukan kerana kawasan hutan berhampiran ladang kelapa sawit itu merupakan laluan ke Hutan Simpan Gunung Korbu yang menjadi habitat harimau belang," katanya.
Sehubungan itu, beliau meminta masyarakat sekitar supaya berhati-hati dan mengelak daripada menggunakan laluan di ladang kelapa sawit tersebut bagi tujuan keselamatan.
Sebelum ini, media melaporkan seorang pekerja kilang Muhammad Luqman Haqim Muhamad Ghazalim, 22, mendakwa tergamam apabila berhadapan dengan 'pak belang' ketika memancing di kawasan ladang kelapa sawit tersebut.
Kelibat binatang buas itu disedari selepas terdengar ngauman kuat di sebalik pangkal pokok sawit yang berjarak kira-kira tiga meter daripada tempat lelaki itu memancing.
-- BERNAMA