Harimau Malaya hampir pupus
Tan Su Lin
Julai 29, 2015 18:50 MYT
Julai 29, 2015 18:50 MYT
Lara, baru menyambut hari lahirnya yang ketiga pada Isnin.
Harimau Malaya betina itu kelihatan lincah dan aktif bermain bersama adik-beradiknya, Pia dan Tina dalam kurungan mereka.
Pada mata kasar, harimau-harimau berkenaan nampak hampir serupa.
Namun bagi Penolong Penyelia Seksyen Karnivor Zoo Negara, Hamdan Hamid, beliau tahu membezakan setiap harimau melalui belangnya.
Ini kerana seperti cap jari manusia, setiap Harimau Malaya mempunyai belang yang berbeza.
"Di sini kita tengok ada tiga ekor harimau. Kalau orang lain susah nak bezakan mana satu Lara, Pia dan Tina. Tetapi setiap harimau sebenarnya ada belang yang berbeza," katanya.
Di Zoo Negara ketika ini terdapat sembilan harimau dalam kurungan, dua daripadanya jantan manakala tujuh adalah betina. - Astro AWANI/Tan Su Lin
"Saya sangat suka dengan harimau mungkin kerana warnanya yang cantik dan bentuk tubuh badannya."
"Harimau ini juga unik dari segi kekuatannya, kalau tengok bentuk tubuh badannya tidak besar sangat tetapi kekuatannya boleh menumbangkan mangsa seperti seekor rusa dan lembu. Ia boleh mencapai jarak lompatan sehingga 30 kaki." ujarnya.
Harimau Malaya (Panthera tigris jacksoni) - Kucing terbesar
Di Zoo Negara, ketika ini terdapat sembilan harimau dalam kurungan, dua daripadanya jantan manakala tujuh adalah betina.
Menurut Hamdan, setiap harimau diberi makan mengikut berat badannya. Lazimnya, harimau jantan makan lebih banyak daripada harimau betina.
Pengalaman berkerja dengan spesies hidupan liar itu selama 13 tahun di Zoo Negara, Hamdan sentiasa terpegun dengan keunikan haiwan dipanggil Pak Belang itu. - Astro AWANI/Tan Su Lin
Hakikatnya, masa kian suntuk bagi haiwan gagah yang menjadi ikon kebangsaan Malaysia itu.
Akibat pemburuan haram dan kemusnahan habitat semula jadi, populasi Harimau Malaya didapati merosot 50 peratus dalam tempoh sedekad lalu.
Jika dahulu, kira-kira 3,000 spesies hidupan liar itu boleh dijumpai di Malaysia, kini dianggarkan jumlah itu menyusut kepada kurang daripada 300 ekor.
Tabung Hidupan Liar Sedunia, WWF Malaysia turut meramalkan haiwan berstatus spesies terancam itu akan pupus dalam tempoh kurang 10 tahun sekiranya tiada usaha pemuliharaan diambil segera.