Harimau kumbang betina masuk perangkap Perhilitan di Felda Lasah
Abd Razak Mohd Ali
Februari 3, 2024 22:45 MYT
Februari 3, 2024 22:45 MYT
IPOH: Seekor harimau kumbang betina dianggarkan berusia empat tahun telah memasuki perangkap yang dipasang Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak di Felda Lasah, Sungai Siput Utara, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim berkata, harimau itu yang beratnya dianggarkan 30 kilogram, dipercayai memasuki perangkap awal pagi ini.
Menurutnya, perangkap itu dipasang pada 20 November tahun lalu berikutan Perhilitan menerima aduan serangan harimau terhadap lembu milik penduduk.
“Keadaan harimau kini sihat, bagaimana pun ada luka sedikit di kepala dipercayai akibat melanggar perangkap,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.
Beliau berkata, pihak Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai telah dihubungi untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, sekiranya tiada keperluan untuk disimpan, pihak Perhilitan mencadangkan harimau kumbang itu dilepaskan semula di Hutan Simpanan Gerik.
Kok Lim berkata, usaha berterusan sedang dirancang dan dilaksanakan dalam menjaga keselamatan penduduk setempat.
“Penangkapan ini juga membuktikan usaha pihak Jabatan Perhilitan telah membawa hasil dan secara tidak langsung mengurangkan ancaman terhadap ketenteraman masyarakat,” ujarnya.