Harimau dahan betina ditemui mati dipercayai dilanggar kenderaan
Bernama
Januari 15, 2021 00:28 MYT
Januari 15, 2021 00:28 MYT
IPOH: Seekor harimau dahan betina dewasa ditemui mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Jalan Tapah-Bidor, Tapah petang semalam.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak Yusoff Shariff berkata bangkai harimau dahan berusia anggaran lima hingga enam tahun itu ditemui oleh kakitangan Perhilitan yang melalui jalan berkenaan.
"Pihak Jabatan Perhilitan amat berharap pengguna jalan raya lebih berhati-hati terutama apabila melalui jalan raya yang berhutan kerana kemungkinan terdapat hidupan liar yang melintas," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya telah mengambil bangkai harimau dahan atau nama saintifiknya Neofelis nebulosa untuk proses taksedemi bagi tujuan pendidikan dan penyelidikan.
Menurut berliau, spesies harimau dahan adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).
"Jabatan Perhilitan juga berharap orang ramai memaklumkan segera kepada kami sekiranya menemui hidupan liar yang cedera atau mati.
"Jangan sesekali mengambil karkas (bangkai) sepenuhnya atau sebahagian kerana tindakan itu merupakan satu kesalahan dan boleh didakwa di bawah akta 716," katanya.
-- BERNAMA
#harimau dahan
#dilanggar kenderaan
#Jalan Tapah-Bidor
#Tapah
#Perhilitan
#pengarah
#Perak
#Yusoff Shariff