Harimau belang ditemui mati dilanggar treler
Abd Razak Mohd Ali
November 9, 2023 11:30 MYT
November 9, 2023 11:30 MYT
IPOH: Seekor harimau belang ditemui mati dipercayai dilanggar sebuah treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung, Gopeng, Perak, awal pagi Khamis.
Pengerusi Jawatankuasa Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak, Teh Kok Lim dalam kenyataannya berkata, beliau dimaklumkan kejadian itu berlaku sekitar jam 12.30 pagi.
Menurutnya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak telah ke lokasi kejadian dan mendapati maklumat itu benar.
Katanya, harimau jantan itu dianggarkan berusia 8 hingga 10 tahun dan bangkainya telah di bawa ke Pusat Menyelamat Hidupan Liar Kebangsaan (NWRC) Sungkai untuk tindakan lanjut.
Kok Lim berkata, pihaknya percaya harimau belang itu adalah haiwan yang dilaporkan sebelum ini menyerang ternakan dan menimbulkan kegusaran penduduk sekitar Kampar.
Pihak Perhilitan percaya penyakit demam babi Afrika atau 'African Swine Fever' (ASF) menjadi punca utama menyebabkan populasi babi hutan turun mendadak.
Ia menyebabkan harimau merayau hingga ke pinggir hutan atau kampung dan sejak ia mula mengesan lembu orang kampung yang dibiarkan bebas dipinggir hutan dan dalam ladang sawit, ia mendapat diet baru yang lebih mudah diserang.
Kok Lim menjelaskan, mengikut pemerhatian pihak Perhilitan dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) termasuk Tabung Alam Sedunia (WWF) melalui pemasangan perangkap kamera, sememangnya babi hutan masih berkurangan.
Oleh itu, tambahnya, potensi untuk harimau itu masuk semula ke hutan tebal kekal rendah disebabkan populasi babi masih kurang, di samping diet baru yang lebih mudah diserang berbanding babi hutan.
Bagaimanapun, katanya, kajian akan terus dijalankan untuk memastikan punca-punca masalah diketahui, seterusnya ditangani.