Harimau belang baham dua lelaki masuk perangkap

Sinar Harian
Oktober 19, 2024 13:50 MYT
Harimau belang yang dipercayai menyerang dua lelaki sehingga maut sebelum ini berjaya memasuki perangkap Perhilitan. -Sinar Harian
IPOH: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dua lelaki di Gerik dan Batu Melintang, Jeli, Kelantan baru-baru ini.

Ringkasan AI
  • Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) berjaya menangkap seekor harimau belang yang dipercayai menyerang dua lelaki di Gerik dan Batu Melintang, Jeli, Kelantan.
  • Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff, mengesahkan tangkapan tersebut dan menyatakan bahawa maklumat lanjut akan diberikan oleh Pengarah Perhilitan Kelantan.
  • Harimau tersebut dipercayai menyerang seorang lelaki warga Myanmar dan seorang lelaki tempatan, Adnan Ismail, yang kedua-duanya maut dalam serangan berasingan di kawasan Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli.

Perkara itu disahkan oleh Pengarah Perhilitan Perak, Yusoff Shariff ketika dihubungi media Sabtu.
Bagaimanapun makluman lanjut mengenai tangkapan haiwan buas itu akan diberikan oleh Pengarah Perhilitan Kelantan dalam masa terdekat.
"Ya, dapat (tangkapan) di sebelah Jeli. Jadi, Pengarah Perhilitan Kelantan yang akan memberikan maklumat lanjut," katanya kepada pemberita pada Sabtu.
Beliau juga tidak menolak kemungkinan harimau ditangkap itu merupakan haiwan sama yang menyerang kedua-dua mangsa kerana jarak lokasi dua kejadian melalui Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Gerik-Jeli hanya kira-kira empat kilometer.
Media pada Jumaat melaporkan Jabatan Perhilitan Perak dan Kelantan melaksanakan gerak kerja menangkap harimau yang disyaki membaham dua mangsa sehingga maut, awal minggu ini.
Yusoff dalam kenyataan itu memaklumkan satu perangkap dipasang pada Jumaat di kawasan dikenal pasti sebagai tambahan perangkap yang dipasang pada Khamis.
Dalam kejadian pada Khamis, seorang lelaki warga Myanmar maut dengan paha kiri terputus, dipercayai diserang harimau ketika berada di belakang rumah kongsi di ladang cili di Batu 18, JRTB Gerik–Jeli dekat Batu Melintang di Jeli.
Sementara itu dua hari sebelumnya, seorang lelaki tempatan Adnan Ismail, 54, maut diserang harimau belang ketika turun dari rumah kongsi berdekatan kawasan hutan di KM79.2 JRTB Gerik–Jeli di Bersia, Gerik. -Sinar Harian
#Perhilitan #Harimau belang #Gerik dan Batu Melintang #serang dua lelaki
;