'Hari yang gelap buat saya' - Yasin

Astro Awani
Ogos 22, 2024 15:14 MYT
Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman (tengah) dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi hari ini. - fotoBERNAMA
SHAH ALAM: "Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik."
Itu ungkapan penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman yang menganggap keputusan Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis yang menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup dan 16 kali sebatan sebagai hari yang gelap buat dirinya.
Yasin atau nama sebenarnya Muhammad Yasin Sulaiman yang dibawa ke mahkamah dari Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak berkata, keputusan berkenaan adalah 'sangat pelik'.
“Hari yang gelap dan keputusan yang sangat pelik, saya tidak boleh terima mengapa keterangan saksi pakar, tidak diambil kira oleh mahkamah," katanya selepas mahkamah mendapati dia bersalah atas tiga kes dadah, dua tahun lalu.
Yasin turut menzahirkan hasratnya untuk menfailkan rayuan di peringkat Mahkamah Rayuan .
"Ya, akan buat rayuan di Mahkamah Rayuan kelak", katanya secara ringkas kepada pemberita di Mahkamah Rayuan, di sini pada Khamis.
Sementara itu, peguam, Ariff Azami Hussein mewakili Yasin, 49, berkata, permohonan rayuan keputusan tersebut akan dibuat pada Jumaat.
AWANI Ringkas: Yasin Sulaiman dihukum penjara seumur hidup
Beliau turut mengulangi pendirian bahawa, anak guamnya tidak bersalah dan wajar ditempatkan di Hospital Bahagia itu untuk mendapatkan rawatan.
“Kita akur dan hormat dengan keputusan itu kerana mahkamah ini mempunyai hak untuk mengesahkan atau menukar keputusan Mahkamah Sesyen.
"Kita ada satu lagi peringkat terakhir dan kita akan lawan di Mahkamah Rayuan,” katanya, memetik laporan portal Sinar Harian.
Susulan keputusan mahkamah ini, Ariff Azami berharap, rawatan dan perubatan yang sama dapat diberikan kepada anak guamnya di Penjara Kajang, Selangor kelak.
Pada pagi Khamis, Yasin dihukum penjara seumur hidup dan 16 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis, selepas didapati bersalah atas tiga kes dadah yang dihadapinya.
Hakim, Datuk Norsharidah Awang memutuskan demikian selepas membenarkan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan pembebasan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya pada 29 November tahun lalu terhadap duda anak dua itu.
Dalam prosiding itu, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin hadir selaku perayu sementara peguam, Ariff Azami Hussein yang mewakili Yasin sebagai responden.
Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Yasin didakwa dalam milikannya dadah berbahaya jenis Kanabis seberat 193.7 gram di sebuah kondominium di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini, pada jam 5.30 petang, 24 Mac 2022.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan juga boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan jika sabit kesalahan.
[TERKINI] Yasin dipenjara seumur hidup, 16 sebatan kes dadah
Bagi kes kedua, Yasin didakwa menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.
Dia dituduh mengikut Seksyen 6B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum dibawah Seksyen 6B(3) akta sama Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang enam kali, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan ketiga, Yasin didakwa memberikan dirinya dadah berbahaya jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, jam 11.05 malam pada tarikh sama.
Bagi kesalahan itu pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan
Pada 29 November 2023, Yasin dilepas dan dibebaskan atas tiga kes dadah itu, namun mahkamah mengarahkan dia ditempatkan di bawah jagaan Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak, selama tempoh perkenan Sultan Selangor.
#penyanyi Yasin #dipenjara seumur hidup #Muhammad Yasin Sulaiman #edar ganja
;