Hari Wilayah: Taburan industri tidak sekata cipta jurang pendapatan
Najib Aroff
Februari 1, 2021 10:32 MYT
Februari 1, 2021 10:32 MYT
KUALA LUMPUR: Taburan industri yang tidak sekata di tiga Wilayah Persekutuan negara ini terus menyebabkan jurang pendapatan meluas, kata Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari.
Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso itu, perindustrian banyak tertumpu di Kuala Lumpur berbanding Labuan.
Ini menyebabkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Labuan adalah 60 peratus lebih rendah berbanding Kuala Lumpur.
“Kita memerlukan intervensi yang kritikal. Lebih baik Hari Wilayah yang disambut melihat kepada sejauh mana erti pembangunan di tiga wilayah ini.
“Kos sara hidup di Labuan lebih mahal kerana kos pengangkutan, namun ditambah keadaan pembangunan industri perlahan di sana, menyebabkan pendapatan mereka 40 peratus lebih rendah berbanding gaji purata di Kuala Lumpur.
“Seolah-olah wujud dua darjat di sana,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Mohd Yusof pada masa sama mengakui isu meningkatkan pendapatan bukan sesuatu yang mudah kerana ia berkait rapat dengan struktur ekonomi yang amat bergantung kepada buruh separa dan kurang mahir.
“Di Kuala Lumpur, walaupun pertumbuhan KDNK melepasi KDNK negara, namun pergerakan gaji amat perlahan.
“Melihat kepada profil pekerjaan di Kuala Lumpur, banyak sektor masih bergantung kepada pekerja separa atau kurang mahir. Ini menyumbang kepada kenaikan gaji yang perlahan,” katanya.
Mohd Yusof berkata kebergantungan industri kepada tenaga kerja separa dan kurang mahir adalah disebabkan dasar ekonomi yang banyak menarik masuk pelaburan berintensifkan buruh.
Tambahnya, tempoh dua hingga tiga tahun mendatang amat sukar kerana fokus akan lebih tertumpu kepada menyediakan pekerjaan kepada orang ramai berbanding soal gaji.
“Pasca COVID-19, keadaan akan bertambah rumit. Maksudnya dua tiga tahun ke depan agak sukar kita nak bercakap soal gaji kerana penambahbaikan akan perlahan.
“COVID-19 ini tiba umpama tsunami, dua hingga tiga tahun akan datang kita akan pastikan orang ada kerja dahulu.
"Apabila ekonomi sudah berkembang dan bertambah baik berbanding 2020, barulah kita melihat soal meningkatkan gaji,” katanya.
Mohd Yusof berkata, pemulihan ekonomi pasca COVID-19 kini amat bergantung kepada kerajaan selaku ‘arkitek’ untuk menentukan soal penstrukturan dan pembaharuan bagaimana yang dimahukan.
“COVID-19 ini harus dilihat sebagai peluang kita betulkan keadaan di Wilayah Persekutuan dan Malaysia.
“Salah satu pembaharuan adalah menarik masuk pelaburan berkualiti dan cipta peluang pekerjaan berkualiti.
“Di Labuan, pembangunan masih perlahan dan peluang masih luas manakala di Kuala Lumpur, kita perbetulkan soal gaji, pekerjaan, keupayaan memiliki rumah, iaitu isu perbandaran yang perlu kita selesaikan pasca COVID-19,” katanya.
#Keluaran Dalam Negara Kasar
#KDNK
#Hari Wilayah
#ekonomi
#perkeso
#gaji
#pekerjaan
#pembangunan
#Wilayah Persekutuan
#Labuan
#Kuala Lumpur
#Mohd Yusof Saari
#pendapatan
#buruh
#kurang mahir
#separa mahir
#pelaburan berintensifkan buruh