Hari Wilayah: Rekaan PPR ketinggalan zaman - Khazanah Research Institute
Najib Aroff
Februari 1, 2021 09:15 MYT
Februari 1, 2021 09:15 MYT
KUALA LUMPUR: Unit kediaman di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR) tidak harus direka dengan kemudahan yang sedikit berbanding perumahan kos medium.
Menurut Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI) Dr Suraya Ismail, rekaan PPR juga harus diberi nafas baru supaya ia menjadi kawasan yang turut mempunyai gaya hidup moden.
“Tidak ada perbezaan antara duduk di PPR dan perumahan kos medium dari segi hak asasi seperti mendapatkan taman dan pusat rekriasi.
“Kita lihat contoh hospital swasta, jika kes teruk mereka akan rujuk ke hospital kerajaan kerana kepakaran ada di hospital kerajaan. Perumahan juga harus serupa. Itu asas," katanya.
Suraya berkata, standard perumahan PPR harus menjurus kepada mengangkat darjat masyarakat di kawasan berkenaan.
“Dahulu kita ukur garis kemiskinan kita berdasarkan kepada pendapatan, akses air bersih, telefon, jarak 5 hingga 9 kilometer dari sekolah dan hospital. Kita sudah capai 90 peratus sasaran ini.
“Maka kita ubah sasaran ini kepada akses internet pula. Standard ini kita naikkan kerana kita sudah hampir kepada negara berpendapatan tinggi.
“Jadi mengapa standard perumahan tidak serupa? Takkan konsep PPR tahun 1970an kita masih guna pakai sekarang. Tak boleh. Ia mesti sama dengan arus permodenan abad ke-21,” katanya.
Selain itu Suraya berkata masalah tidak cukup parkir kenderaan di PPR menjadi isu yang perlu diselesaikan segera.
Menurutnya masalah ini timbul disebabkan asas penempatan penduduk PPR yang tidak selari.
“Kita buat dasar perumahan PPR tetapi tidak ada graduasi ke apartment lain. Kita terlalu sibuk soal dasar perumahan sosial dan selepas itu apa? Keadaan semakin padat.
Justeru penilaian dan transformasi harus dilakukan melihat kepada tahap kemampuan penduduk di PPR supaya mereka boleh digraduasikan ke kawasan yang lebih luas sekaligus mengurangkan kepadatan di PPR.
“Tidak semua isi rumah PPR itu pendapatan mereka RM3000 ke bawah, ada yang RM5000. Jadi mereka memang ada kereta.
“Konsep PPR sepatutnya penduduk menaiki pengangkutan awam, tetapi lokasi PPR pun tidak kena dengan pengangkutan awam.
“Malah beberapa urusan harian seperti hantar anak pergi sekolah, beli barang dapur ini semua tidak pakai pengangkutan awam.
“Ini dasar yang tidak sepadan dan perlu diperhalusi. Bukan semua orang patut masuk ke PPR,” katanya.
Suraya berkata masalah asas itu perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum masalah parkir tidak cukup dapat diselesaikan.
#PPR
#perumahan
#khazanah research institute
#Hari Wilayah
#pengangkutan awam
#dasar
#parkir
#Suraya Ismail
#gaya hidup moden
#nafas baru
#Internet
#hak asasi
#moden
#Abad ke-21