Hari Wilayah Persekutuan: Kekalkan identiti kampung di ibu kota

Wan Syamsul Amly
Februari 1, 2016 08:33 MYT
Hari Wilayah Persekutuan: Kekalkan identiti kampung di ibu kota - Gambar fail
Kerajaan perlu memastikan identiti beberapa kampung di ibu kota terpelihara walaupun diasak pelbagai projek pembangunan untuk warganya.
Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, sejarah kampung di tengah bandar perlu diabadikan dan bukan dilenyapkan dengan perumahan berharga jutaan ringgit.
"Nilai bangsa dilihat dari kebudayaan dan penjenamaan semula harus mengikut acuan asal sesuatu kampung itu sendiri. Paling penting di Kampung Baru ini merupakan satu kampung tradisi lama lebih 116 tahun dan merupakan titik pertemuan penduduk Melayu dari Kelantan sehingga Johor yang hendak datang ke Kuala Lumpur.
"Ini titik kemerdekaan negara. Boleh dikatakan semuanya bermula di Kampung Baru ini sekali gus menjadi jenama orang Melayu di bandar," katanya.
Kampung Baru dibuka pada tahun 1900 oleh Kerajaan Negeri-Negeri Melayu Bersekutu dan Negeri Selangor semasa rancangan pembangunan semula Kuala Lumpur.
Sebelum ini, Shamsuri menjelaskan, lebih 70 peratus daripada penama atau pemilik asal tanah di Kampung Baru yang sudah meninggal dunia menyukarkan sebarang pembangunan di lokasi berkenaan.
Tegasnya, faktor itu menjadikan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) dan waris penduduk perlu bekerjasama untuk memastikan pelan kemajuan tidak hanya tinggal rancangan.
Sebelum ini, beberapa penduduk menyifatkan penggabungan lot di Kampung Baru dilihat usaha pemilik tanah membantu PKB mempercepat pembangunan lokasi tersebut.
Mereka merasakan kerjasama itu harus disusuli dengan penerangan nilai semasa dan status tanah yang akan dibangun oleh pihak berkenaan.
Sementara itu, Ahli Lembaga Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Datuk Yahaya Mat Ghani berkata, paling penting adalah perancangan pembangunan itu sendiri.
"Saya kira paling penting adalah soal bagaimana perancangan Wilayah Persekutuan dan DBKL untuk memenuhi hasrat masyarakat penduduk setempat yang berada di rumah setinggan harus dipindahkan segera untuk beri keselesaan kepada rakyat.
"Ia memastikan bandar raya lebih tersusun selain perumahan yang selesa, selamat dan harmoni untuk didiami.
Katanya lagi, harapannya dan majoriti warga kota adalah untuk melihat bandaraya Kuala Lumpur lebih tersusun selain lebih baik pengurusnnya dan selesa untuk didiami.
"Kita tidak mahu jadi macam bandar raya lain. Kerana itu Kementerian Wilayah Persekutuan mewujudkan tema 'Wilayahku Ceria'.
"Apa maksud sebenarnya ceria itu? Ia lebih kepada harapan untuk melihat Kuala Lumpur ini menjadi lokasi kondusif dan selamat serta harmoni untuk didiami," ujarnya.
#DBKL #Hari Wilayah #Kampung Baru #Melayu #PKB
;