Hari Wilayah: Perkasa segmen sewaan, kurangkan monopoli pemaju

Najib Aroff
Februari 1, 2021 09:47 MYT
Ditambah dengan kehilangan pekerjaan penduduk di Wilayah Persekutuan yang melibatkan ramai golongan B40, Mohd Yusof berkata pemilikan rumah akan terus menjadi isu tanpa penyelesaian jika tiada tindakan segera. - Foto fail
KUALA LUMPUR: Sektor perumahan yang dimonopoli pemaju perumahan menyebabkan ramai penduduk tidak mampu memilik kediaman.
Menurut Ketua Ekonomi Pusat Penyelidikan Pasaran Buruh Masa Hadapan Perkeso, Prof Madya Dr Mohd Yusof Saari, sudah tiba masa intervensi kerajaan diperlukan kerana jelas pasaran perumahan tidak lagi efisien.
“Kajian menunjukkan syarikat besar monopoli perumahan dan mereka menentukan harga. Betul, kita mahu pasaran tentukan penawaran dan permintaan tetapi perlu ada intervensi kerajaan apabila pasaran tidak lagi efisien kerana wujud monopoli.
“Kita mahu model perumahan seperti di Jerman dan Belanda yang mana wujudkan perumahan rakyat yang boleh disewa sampai bila-bila pada kadar murah.
“Di negara maju, penduduk bandar boleh sewa sampai bila-bila dan sewa lebih murah berbanding kadar semasa atau pasaran. Ini belum banyak di Malaysia.
Mohd Yusof berkata alternatif ini perlu dibangunkan segera kerana ekonomi pasca COVID-19 akan menyaksikan kadar pemilikan rumah terutama buat golongan berpendapatan rendah akan terus terjejas.
“Wujudkan skim sewa rumah dengan sekuriti supaya mereka tidak dihalau dalam tempoh singkat. Mereka boleh menetap disitu untuk tempoh lama.
“Walaupun sewa murah, dalam jangka panjang pasti keuntungan diraih.
Malah Mohd Yusof mencadangkan satu model baharu diwujudkan yang mana tanah milik kerajaan dibangunkan perumahan rakyat dengan konsep koperasi.
“Jika kerajaan memiliki tanah rizab, boleh dinjadikan koperasi, skim atau mengguna pakai kaedah tertentu untuk memiliki rumah pada harga rendah. Model ini dah ada negara yang buat cuma belum banyak.
“Ini akan mengurangkan monopoli dalam pasaran. Isu rumah adalah keperluan rakyat dan jika keupayaan memiliki rumah tidak kondusif, ini adalah kegagalan pasaran yang perlu ditangani,” katanya.
Ditambah dengan kehilangan pekerjaan penduduk di Wilayah Persekutuan yang melibatkan ramai golongan B40, Mohd Yusof berkata pemilikan rumah akan terus menjadi isu tanpa penyelesaian jika tiada tindakan segera.
Untuk rekod, Kuala lumpur mencatatkan jumlah kehilangan pekerjaan terbesar dalam kalangan Wilayah Persekutuan.
#COVID-19 #perumahan #monopoli #PPR #Hari Wilayah #sewa #Mohd Yusof Saari #model #ekonomi #kerajaan #rakyat #Jerman #Belanda #pemaju
;