Hari Wilayah: Orang muda perlu kenal tokoh Melayu banyak berjasa
Irwan Muhammad Zain
Februari 1, 2019 08:12 MYT
Februari 1, 2019 08:12 MYT
Tokoh-tokoh Melayu yang banyak memberi sumbangan kepada Kuala Lumpur suatu ketika dahulu perlu diperkenalkan kembali supaya warga kota, khususnya anak muda, mengenali siapa mereka.
Nama-nama seperti Nakhoda Yusof, Khatib Koyan, Haji Taib, Raja Laut, Abdullah Hukum dan beberapa lagi harus diketengahkan untuk golongan muda mengetahui sejarah dan sumbangan mereka kepada bandar raya ini.
Sempena sambutan Hari Wilayah yang disambut hari ini, pengkaji sejarah bebas, Azry Aziz berpendapat satu kajian menyeluruh perlu dilakukan terhadap tokoh-tokoh ini kerana ia jarang disebut dan sejarah mereka amat sedikit yang mengetahui.
Katanya, sangat sedikit maklumat tentang tokoh-tokoh Melayu dan sumbangannya diketahui atau tercatat dalam buku sejarah hingga ramai warga Kuala Lumpur tidak mengetahui latar belakang mereka.
"Selama ini kita hanya kenal mereka ini di nama-nama jalan atau di nama-nama sekolah, sebaliknya mereka ini adalah figura-figura terkenal pada satu zaman dahulu.
"Ada antara mereka terlibat dalam peperangan, ada yang terlibat dalam perniagaan dan keusahawanan.
"Nama-nama mereka ini jarang terlintas dalam buku-buku sejarah. Jadi, perlu ada kajian terperinci atau menyeluruh tentang nama-nama tokoh Melayu di Kuala Lumpur.
"Sekarang, yang kita kenal, mungkin nama-nama tokoh dari British atau Cina. Sebaliknya, tokoh Melayu kurang dikenali," katanya kepada Astro AWANI.
Menurut Azry, antara yang lebih dikenali ialah Raja Abdullah yang datang dari Klang menggunakan sampan untuk mencari bijih timah, sedangkan, pada masa sama, ramai lagi tokoh-tokoh Melayu yang perlu diangkat sejarah mereka.
Katanya, antara yang jarang atau mungkin ramai tidak tahu ialah tentang tokoh perniagaan terkenal Muhammad Yusof Abu Bakar dari Terengganu atau lebih dikenali dengan nama Nakhoda Yusof.
Nama Nakhoda Yusof hanya diketahui digunakan pada sebatang jalan di Cheras, dan kini di jalan tersebut tersergam bangunan sebuah gedung perabot dari Eropah.
"Dia (Nakhoda Yusof) antara ahli perniagaan yang kaya sewaktu zaman kegemilangan Yap Ah Loy. Dipercayai, kekayaan beliau adalah hampir sama dengan kekayaan Yap Ah Loy.
"Tetapi, cerita-cerita ini jarang diperkatakan," katanya lagi.
Azry berharap tokoh-tokoh Melayu ini diperkenalkan kembali dan Kuala Lumpur mempunyai galeri atas talian tentang tokoh-tokoh yang banyak memberi sumbangan hingga bandar raya ini menjadi seperti hari ini.
Sementara itu, bagi waris Nakhoda Yusof, Mohd Hisham Mohd Isa yang merupakan generasi ketiga tokoh Melayu yang banyak memberi sumbangan kepada sejarah Kuala Lumpur, amat penting untuk tokoh-tokoh Melayu ini diperkenalkan kembali.
Menurut Mohd Hisham, moyangnya dan beberapa tokoh Melayu lain terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur seperti juga tokoh-tokoh lain yang sering disebut atau ditulis dalam sejarah.
"Itu adalah kesan sejarah yang boleh dicatit yang boleh kita buat satu maklumat untuk semua orang tahu, orang-orang Melayu dahulu siapa yang terlibat dalam pembangunan Kuala Lumpur dan Malaysia secara keseluruhannya," katanya ketika ditemui Astro AWANI.
Nakhoda Yusof, yang juga dikenali dengan nama Che Soh, ialah seorang ahli perniagaan yang berasal dari Losong, Kuala Terengganu, yang dikatakan berniaga rempah ratus.
Beliau dikatakan berdagang menggunakan kapal dan sering berlabuh di tapak Masjid Jamek sekarang, iaitu pertemuan antara Sungai Gombak dan Sungai Kelang.
Menurut Mohd Hisham, dari sejarah yang diceritakan oleh bapa dan bapa saudaranya, Nakhoda Yusof lebih awal tiba di Kuala Lumpur berbanding Yap Ah Loy.
Menurut cerita, dakwa Mohd Hisham, Yap Ah Loy pernah mengajak Nakhoda Yusof menunjukkan jumlah emas yang disimpannya.
"Yap Ah Loy pernah meminta moyang saya menunjukkan jumlah emas yang dimilikinya dan dikatakan Nakhoda Yusof memiliki jumlah emas sama dengan Yap Ah Loy," katanya lagi.
Mohd Hisham mendakwa, tapak Masjid Jamek merupakan tanah yang diwakafkan oleh moyangnya namun tidak pernah disebut atau dinyatakan dalam sejarah.
"Tapak Masjid Jamek sekarang ini adalah asal daripada moyang saya, tetapi Jabatan Warisan tak ada tunjuk tanda siapa punya tanah yang boleh dibangunkan masjid ini.
"Banyak tanah-tanah wakaf di Kuala Lumpur sama juga jadinya. Masjid atau bangunan sahaja yang dinaikkan, tetapi nama yang mewakafkan tidak disebutkan langsung," katanya.
Selain tanah perkuburan Jalan Ampang itu, Mohd Hisham juga mendakwa moyangnya mewakafkan sebidang tanah untuk didirikan sebuah sekolah Melayu dan juga tanah di Mekah.