Hari Wilayah: Harga rumah tidak mampu milik, seperti tiada jalan keluar
Najib Aroff
Februari 1, 2021 09:07 MYT
Februari 1, 2021 09:07 MYT
KUALA LUMPUR: Saban tahun kita meraikan Hari Wilayah, menyingkap segala bentuk pembangunan yang dikecapi di tiga kawasan, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.
Namun seperti tiada jalan keluar, keadaan harga rumah yang sangat tidak mampu dimiliki terutama di kawasan Kuala Lumpur, semakin meruncing.
Rumah mampu milik ditakrifkan sebagai rumah yang harganya kurang tiga kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan.
Sebaliknya, harga rumah di Malaysia kini lima kali ganda pendapatan isi rumah median tahunan.
Menurut Pengarah Kajian Khazanah Research Institute (KRI) Dr Suraya Ismail, purata Kadar Pertumbuhan Tahunan Kompaun (CAGR) bagi pendapatan isi rumah meningkat 3.9 peratus dari 2016 hingga 2019, namun harga rumah untuk tempoh sama hanya turun 0.9 peratus.
“Saya nampak ada mereka yang cuba beri jalan keluar tetapi dengan menawarkan rumah pada harga berpatutan tetapi keluasan kecil.
“Ada yang sampai 340 kaki persegi, lebih kecil daripada Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan dipromosi sebagai rumah mampu milik untuk golongan bujang. Ini adalah satu penipuan yang besar.
“Kita tidak boleh ambil jalan pintas untuk selesaikan soal mampu milik,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Perancangan Bandar
Suraya berkata, meskipun pemaju berhak membina apa sahaja jenis perumahan di atas tanah milik mereka, namun perancangan bandar itu harus dipikul oleh pihak kerajaan.
“Kerajaan harus putuskan, contohnya di sesuatu kawasan, oleh kerana penduduknya berpendapatan isi rumah RM3,000, perumahan yang dibina mesti menjurus kepada pendapatan RM3,000.
“Tetapi kebanyakan rancangan struktur ini tidak diwartakan. Ia hanya tinggal sebagai perancangan dan garis panduan.
“Ini isu besar. Kita mahu pastikan bandar kita tidak menjadi arena pertaruhan hartanah seperti Hong Kong,” katanya.
Suraya berkata langkah kawalan boleh dilakukan pihak kerajaan melalui Majlis Perbandaran.
“Kita perlu pastikan Majlis Perbandaran ada data menunjukkan berapa kemampuan penduduk di sesuatu kawasan.
“Benda ini senang, data sudah ada di Jabatan Statistik. Ambil data ini, letak di Majlis Bandaraya, supaya apabila pemaju datang dan kata mahu bina rumah RM5 juta sebuah, kita tanya siapa mahu beli rumah ini?
“(Sebaliknya sekarang) Pemaju terus-menerus pergi ke segmen rumah mewah. Apabila tidak terjual, mereka gesa kerajaan buka pula kepada pembeli asing. Sudah tentu mereka mampu beli kerana mata wang mereka lebih besar.
“Ini tugas kerajaan untuk pastikan semua penduduk yang membayar cukai dapat kehidupan yang selesa dan kehidupan selesa mesti datang daripada rumah yang selesa,” katanya.
Ambil pandangan rakyat
Suraya berkata antara cara terbaik perancangan bandar adalah dengan mengambil kira pandangan penduduk sesuatu kawasan sebelum pembangunan berjalan.
“Insiatif pembangunan negara kita terlalu ‘top down’, tidak mendapat pandangan rakyat. Kadangkala kita rasa untuk siapa anda bina semua ini? Bukan untuk kegunaan kami.
“Penduduk juga harus beri pandangan yang baik demi pembangunan kejiranan mereka,” katanya.
Justeru, Suraya berharap lebih ramai warga Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengambil tahu tentang perubahan di kawasan perumahan mereka.
Ia termasuk mengadakan sesi dialog dan libat urus bersama Majlis Perbandaran supaya amalan demokrasi abad ke-21 diterapkan dalam perancangan bandar.
#perumahan
#KRI
#khazanah research institute
#DBKL
#Hari Wilayah
#PPR
#perancangan bandar
#Majlis Perbandaran
#demokrasi
#pemaju
#rumah
#mampu milik
#Suraya Ismail
#CAGR
#pendapatan isi rumah
#pertumbuhan