Hari Wesak: MBA giat jalankan persiapan, jangka terima kehadiran 10,000 penganut
Bernama
Mei 20, 2024 07:15 MYT
Mei 20, 2024 07:15 MYT
GEORGE TOWN: Persatuan Buddha Malaysia (MBA) giat menjalankan persiapan akhir bagi menyambut Hari Wesak pada Rabu ini yang dijangka menerima kehadiran lebih 10,000 penganut Buddha dan pengunjung.
Tinjauan Bernama di pekarangan bangunan MBA di Jalan Burma di sini mendapati puluhan sukarelawan sedang menyiapkan kereta berhias dengan ribuan bunga dan mendirikan 10 khemah di kawasan berkenaan.
Pengerusi Jawatankuasa Sambutan Wesak Pulau Pinang Datuk Dr Loh Hock Hun berkata pelbagai program dan acara dirancang sepanjang sambutan Hari Wesak kali ini.
"Sambutan pada tahun ini akan menampilkan perarakan besar pada Rabu bermula 6 petang, iaitu perarakan tahunan yang telah menjadi tradisi sejak 1949.
"Sebanyak 23 kereta berhias daripada pelbagai persatuan dan kuil akan berarak sejauh tujuh kilometer bermula dari bangunan MBA dan kemudian juga berakhir di situ," katanya kepada Bernama pada Isnin.
Beliau berkata upacara menyalakan api akan diadakan pada malam ini (Selasa), menjelang Hari Wesak.
Persiapan sambutan Hari Wesak juga berjalan lancar di beberapa kawasan sekitar negeri ini termasuk di Kuil Kek Lok Si di Air Itam, Chaiya Mangalaram Thai Buddhist Temple di Lorong Burma dan Kuil Buddha Wat Buppharam di Jalan Perak di sini.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang memaklumkan akan menganjurkan sambutan Hari Wesak peringkat negeri selama lima hari di MBA bermula 18 Mei.
Hari Wesak adalah hari terpenting masyarakat beragama Buddha bagi memperingati kelahiran, pencerahan dan kematian pengasas agama itu, Siddharta Gautama.
Ia disambut dengan menyalakan colok dan lilin berbentuk bunga teratai, menabur bunga dan memandikan patung Buddha.
-- BERNAMA