Hari Wesak disambut sederhana di seluruh negara
Bernama
Mei 26, 2021 17:52 MYT
Mei 26, 2021 17:52 MYT
KUALA LUMPUR: Hari Wesak tahun ini disambut sederhana dalam norma baharu di seluruh negara yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik COVID-19.
Walaupun penganut agama Buddha tidak dapat hadir secara fizikal ke tokong, pihak rumah ibadat itu dan persatuan giat melakukan penstriman langsung sambutan tersebut melalui media sosial seperti Subang Jaya Buddhist Association dan Bandar Utama Buddhist Society.
Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah antara yang terawal mengucapkan "Selamat Hari Wesak" kepada penganut Buddha hari ini.
Tidak ketinggalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memanfaatkan media sosial untuk berbuat demikian.
Sementara itu dalam kenyataannya, Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique mengucapkan Selamat Hari Wesak kepada semua penganut agama Buddha di negara ini selain berkata perayaan itu disambut dengan aman dan harmoni, selaras dengan amalan kebebasan beragama yang menjadi lambang perpaduan negara.
"Pengamalan dan pembudayaan nilai-nilai murni dalam kehidupan masyarakat hari ini sewajarnya diperkukuhkan lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pandemik COVID-19.
"Marilah kita bersama-sama bersatu hati memerangi COVID-19 ini tanpa garis pemisah. Dalam masa yang sama marilah kita memanfaatkan peluang dan kesempatan yang ada ini untuk menjiwai erti perpaduan yang sebenar," katanya.
Sementara itu, tokong-tokong Buddha di Pulau Pinang kebanyakannya hampir kosong memandangkan penganut tidak dibenarkan menyertai upacara sembahyang di premis berkenaan.
Pihak berkuasa termasuk polis dilihat berada di Mahindarama Buddhist Temple di negeri itu bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP).
Wakil tokong Dr Surya Dharamdass turut menggesa orang ramai agar mematuhi SOP dan meraikan sambutan Wesak di rumah memandangkan segala upacara keagamaan di tokong disiarkan secara maya.
Hasil tinjauan Bernama di IPOH, mendapati kebanyakan tokong Buddha ditutup kepada orang ramai berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Mukim Hulu Kinta meliputi Ipoh, Lahat, Chemor dan Tanjung Rambutan di daerah Kinta.
Tokong Wat Siribunyamagaram di Jalan Tambun, antara kuil di sekitar Ipoh yang dilihat melakukan upacara keagamaan bersempena sambutan Hari Wesak dengan hanya 10 ahli jawatankuasa yang dibenarkan hadir di tokong untuk upacara itu.
Negara kini berada di bawah PKP 3.0 dengan sebahagian kawasan dikenakan PKPD dalam usaha membendung penularan jangkitan COVID-19.
-- BERNAMA