Hari Wanita Antarabangsa 2023: KPM fokus isu pendidikan secara holistik - Fadhlina

Nursyazwani Saiful Sham
Mac 8, 2023 12:58 MYT
Kementerian itu komited menyelesaikan isu berkenaan bagi memastikan semua rakyat menerima akses pendidikan terbaik. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Akses pendidikan yang seimbang antara lelaki dan wanita pada ketika ini bukan tiket untuk negara berasa selesa, sebaliknya isu akses lain seperti sekolah daif dan pendidikan awal kanak-kanak harus terus diberi perhatian.
Menurut Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, kementerian itu komited menyelesaikan isu berkenaan bagi memastikan semua rakyat menerima akses pendidikan terbaik.
“Dalam konteks hari ini, apa yang menjadi impian dan sebenarnya komitmen adalah memastikan semua perkara yang berkait rapat dengan akses. Jadi kalau kita selesaikan isu akses ia akan memberi manfaat kepada semua bukan sahaja wanita, tetapi semua. Merentas jantina, kaum.
“Sebab itu dalam konteks pendidikan pertama, kita mesti selesaikan isu akses, semua anak-anak kita mesti bersekolah dan itu yang kita kena pastikan.
“Kedua, dapatkan peluang yang sama. Sebab itu, saya nak yakinkan anak-anak, ibu bapa, guru-guru, penting untuk tuntaskan isu akses. Berdasarkan tujuh teras KPM perkara utama adalah sekolah daif. Kalau tiada keadaan kondusif, bagaimana nak pastikan mereka mendapat akses pendidikan sebaiknya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam program 100 Hari Kerajaan Perpaduan sempena Hari Wanita Antarabangsa 2023 pada Rabu.
Menurut data yang dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia, pencapaian Indes Jurang Gender Malaysia (MGGI) pendidikan Malaysia berada pada 1.060, iaitu mencapai titik keseimbangan.
Ia berdasarkan penyertaan 96.2 peratus wanita dan 96.5 peratus lelaki dalan sistem pendidikan.
Menakala di peringkat pendidikan rendah penglibatan wanita adalah pada 98.4 peratus manakala lelaki adalah 98.1 peratus dan bagi pendidikan menengah pula wanita mendominasi pada 94.5 peratus.
Pendidikan peringkat tinggi juga menunjukkan wanita menguasai dengan 47.5 peratus kadar enrolmen.
Namun angka ini tidak diterjemah kepada data Kadar Penyertaan Tenaga Buruh (KPTB) yang mana wanita menguasai 55.5 peratus manakala lelaki sebanyak 80.9 peratus.
Tahun ini, tema Hari Wanita Antarabangsa peringkat nasional bertemakan “KASIH Wanita”.
KASIH adalah singkatan kepada nilai keluarga merangkui kasih sayang, akhlak atau peribadi mulia, sihat fizikal dan mental, berilmu dan harmoni.
#Fadhlina Sidek #Hari Wanita Antarabangsa #pendidikan
;