Hari Sukan Negara peringkat PDRM: Beberapa laluan ditutup Sabtu

Bernama
Oktober 11, 2024 11:58 MYT
Hari Sukan Negara peringkat PDRM melibatkan acara berbasikal Fun Ride dan larian Fun Run.- Gambar hiasan/Bernama
KUALA LUMPUR: Beberapa laluan sekitar ibu negara akan ditutup dan dilencongkan sementara bermula 5 pagi hingga 9.30 pagi sempena program Hari Sukan Negara peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM), esok.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata jalan terlibat ialah Jalan Sultan Ismail-Jalan Imbi, Jalan Pudu-susur ke Jalan Imbi, Jalan Dewan Bahasa-Jalan Bukit Petaling, Jalan Maharajalela-Jalan Hang Tuah, Jalan Sultan-Jalan Pudu dan Jalan Tun Sambanthan-Jambatan Jalan Sultan Sulaiman.
Selain itu, Jalan Tun Perak-Leboh Ampang, Bulatan Dato Onn, Jalan Raja Laut-Jalan Sultan Ismail, Jalan Sultan Ismail-Jalan Tuanku Abdul Rahman, Jalan Sultan Ismail-Jalan Raja Abdullah dan Jalan Raja Abdullah-Jalan Dang Wangi turut terbabit.
Beliau berkata penutupan juga dilakukan di Jalan P.Ramlee-Jalan Ampang, Jalan Bukit Bintang-Jalan Imbi, Jalan Kia Peng-Jalan Raja Chulan dan Jalan P.Ramlee-Jalan Raja Chulan.
"Pengguna jalan raya dinasihatkan mematuhi tanda jalan raya dan arahan pegawai polis yang sedang bertugas serta mendapatkan maklumat terkini berkenaan lalu lintas di kawasan yang terbabit.
"Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H S Lee di talian 03-20719999 atau hotline Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur 03-20260267 atau balai polis berhampiran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Hari Sukan Negara peringkat PDRM tahun ini yang dianjurkan bersama Polis Kuala Lumpur melibatkan acara berbasikal Fun Ride (20 kilometer) dan larian Fun Run (lima kilometer).
-- BERNAMA
#Hari Sukan Negara #PDRM #jalan ditutup #Fun Ride #fun run
;