Hari Sukan Negara: Beberapa jalan di Little India ditutup bermula 7.30 pagi Sabtu

Bernama
Oktober 6, 2022 19:17 MYT
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata antara jalan raya yang ditutup sepanjang program itu berlangsung ialah Jalan Tun Sambathan dan lorong-lorong masuk ke Jalan Tun Sambathan. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Beberapa jalan raya di sekitar pekan Little India, di sini akan ditutup bermula 7.30 pagi sempena progam sambutan Hari Sukan Negara peringkat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Sabtu ini.
Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor berkata antara jalan raya yang ditutup sepanjang program itu berlangsung ialah Jalan Tun Sambathan dan lorong-lorong masuk ke Jalan Tun Sambathan.
Beliau meminta kepada semua pengguna jalan raya khasnya pengguna di sekitar pekan Little India untuk merancang semula perjalanan mereka.
"Ia adalah bagi mengelakkan sebarang kesulitan atau tersangkut dalam kesesakan jalan raya berikutan penutupan jalan sepanjang program berlangsung," katanya dalam kenyataan hari ini.
Amihizam menasihatkan pengguna jalan raya supaya mematuhi segala arahan pihak polis bagi mengelakkan sebarang insiden yang tidak diingini berlaku sepanjang program berlangsung.
-- BERNAMA
#Hari Sukan Negara #jalan tutup #Little India #Polis Kuala Lumpur #Polis Daerah Brickfields #Jalan Tun Sambathan
;