Hari Sukan Negara 2016 berlangsung hari ini

Astro Awani
Oktober 7, 2016 07:07 MYT
Untuk tahun ini KBS yakin penyertaan bagi pelbagai acara sukan pada hari ini meningkat kepada tujuh juta orang, berbanding tiga juta orang tahun lalu. - Foto Astro AWANI
Aspirasi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah 'Negara Bersukan' diteruskan dengan penganjuran Hari Sukan Negara untuk tahun kedua yang berlangsung hari ini.
Untuk tahun ini KBS yakin penyertaan bagi pelbagai acara sukan pada Sabtu ini meningkat kepada tujuh juta orang, berbanding tiga juta orang tahun lalu.
Sejumlah 22,500 aktiviti dianjurkan serentak di seluruh negara.
 
Ia dilaksana dengan penglibatan pelbagai kementerian termasuk penganjuran di kawasan kampung dan daerah.
Antaranya, Kayuhan dan Larian Hari Sukan Negara di Putrajaya, Mega Aerobikthon di Kuala Lumpur, Zumba War di Negeri Sembilan serta Color Run di Kelantan.
Pelancaran Hari Sukan Negara peringkat kebangsaan disempurnakan oleh YAB Perdana Menteri di Dataran Putrajaya pada 7 pagi.
HSN kali ini turut menyaksikan penglibatan atlet-atlet Olimpik dan Paralimpik terutamanya pemenang pingat di Rio 2016.
Ini termasuk peluang untuk beraksi bersama atlet berbasikal, Azizulhasni Awang, peluang bermain badminton dengan Datuk Lee Chong Wei dan peluang beraksi dengan atlet-atlet lain.
Hari Sukan Negara adalah salah satu usaha kerajaan menggalakkan rakyat menerapkan amalan budaya hidup cergas dan aktif.
Ini memandangkan peratusan masyarakat Malaysia yang aktif bersukan masih lagi rendah iaitu pada kadar sekitar 40% berbanding dengan 50% ke 60% di negara maju.
Budaya sukan melalui amalan gaya hidup cergas dan aktif pada masa yang sama dapat membantu menurunkan kadar penyakit kronik di kalangan rakyat Malaysia.
Hari Sukan Negara jatuh pada setiap hari Sabtu kedua dalam bulan Oktober.
#Hari Sukan Negara 2016 #Negara Bersukan
;