Hari Solidariti Antarabangsa: Usaha Malaysia membela Palestin wajar dihargai

Bernama
November 29, 2024 06:40 MYT
Sokongan dan solidariti terhadap isu Palestin ini juga harus meliputi aspek ekonomi, meskipun menyedari implikasi politik dan ekonominya. - Foto fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Malaysia terus menjadi antara negara paling lantang menyuarakan isu Palestin di pentas antarabangsa, dengan usaha yang wajar dihargai dan menjadi contoh kepada masyarakat dunia.
Pengarah Pusat Kajian Syariah Undang-undang dan Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Nik Roskiman Abdul Samad berkata pendekatan Malaysia, termasuk membantu pelarian Afghanistan pada era 1990-an, menjadi bukti komitmen negara dalam membela golongan tertindas.
"Malaysia pernah menyediakan peluang pendidikan kepada pelarian Afghanistan, memastikan mereka sehingga mendapat ijazah.
"Semangat yang sama turut diterapkan dalam membantu rakyat Palestin sehingga ke hari ini," katanya dalam Program Bernama TV "Ruang Bicara" sempena Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin.
Beliau berkata sumbangan Malaysia kepada Palestin kini amat besar, namun masih ada ruang untuk memperkukuhkan usaha itu.
"Kita tahu kemampuan kita terhad, tetapi kita masih berusaha sedaya mungkin mencari ruang dan peluang untuk memastikan rakyat Palestin terus terbela.
"Jika kita hanya mengharapkan negara lain, ramai yang takut untuk bertindak. Malaysia sejak dahulu adalah antara negara yang paling berani bersuara lantang mengenai isu Palestin," katanya.
Pengarah Pusat Pengajian Palestin Hashim Sani, Universiti Malaya (UM) Prof Dr Nazari Ismail berkata solidariti Malaysia terhadap Palestin adalah sesuatu yang amat bermakna dan dihormati oleh rakyat Palestin sendiri.
Beliau berpandangan sokongan dan solidariti terhadap isu Palestin ini juga harus meliputi aspek ekonomi, meskipun menyedari implikasi politik dan ekonominya.
"Ramai pihak hanya bercakap tetapi tidak bertindak. Kegusaran terhadap implikasi-implikasi yang mungkin berlaku menjadi penghalang. Hakikatnya, implikasi itu mungkin tidak berlaku pun.
"Kita perlu lebih bersemangat untuk membantu Palestin mencapai kemerdekaan dan pembebasan. Ini bukan sahaja tanggungjawab rakyat Palestin, tetapi juga tugas bersama kita sebagai masyarakat dunia," katanya.
Hari Solidariti Antarabangsa bersama Rakyat Palestin disambut setiap 29 November sejak 1978 bagi memperingati resolusi Perhimpunan Agung PBB yang memecahkan Palestin pada 29 November 1947.
-- BERNAMA
#Hari Solidariti Antarabangsa #Palestin #Malaysia #bela
;