Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2021

Ts Mohd Soffian Osman
April 28, 2021 14:25 MYT
Setelah 27 tahun Akta 514 dikuatkuasakan, ia banyak mengubah landskap KKP negara dengan penurunan kadar kemalangan pekerjaan yang ketara dari tahun ke tahun. - Gambar hiasan
MENURUT Pertubuhan Buruh Antarabangsa (International Labour Organisation - ILO), sebanyak 2.78 juta orang mati, selain 374 juta orang lagi mengalami sakit atau kecederaan disebabkan oleh kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja setiap tahun.
Selain daripada kecederaan, sakit dan kematian, kemalangan di tempat kerja juga turut memberikan impak negatif terhadap ekonomi dan produktiviti dengan kos kerugian langsung dan tidak langsung di peringkat global dianggarkan berjumlah USD2.99 trilion iaitu mewakili 3.94 peratus daripada KDNK dunia.
Berdasarkan laporan tahunan 2020 oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Malaysia, pada tahun 2019 sebanyak 578 kematian akibat pekerjaan dengan sejumlah 40811 kes kemalangan pekerjaan dan 9860 kes penyakit dan keracunan pekerjaan yang telah dilaporkan.
Sejarah dan perundangan
Bidang keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) di Malaysia mempunyai sejarah yang panjang meliputi beberapa fasa iaitu bermula pada era keselamatan dandang di Negeri-negeri Melayu Bersekutu (Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan) seawal tahun 1878, diikuti dengan era keselamatan jentera (1914 - 1952) dan keselmatan industri (1953 - 1967).
Akta Kilang dan Jentera (Akta 139) telah diluluskan oleh parlimen pada tahun 1967 sebelum ianya dikuatkuasakan pada tahun 1970 berserta lapan peraturan-peraturan yang dibuat di bawahnya.
Disebabkan akta ini hanya terhad kepada sektor perkilangan, perlombongan, kuari dan pembinaan maka pada 1993 parlimen telah meluluskan suatu akta baru dikenali Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 (Akta 514) yang merangkumi sejumlah 90 peratus daripada tenaga kerja kecuali pekerjaan atas kapal dan angkatan tentera.
Akta ini turut menetapkan bahawa liabiliti untuk menjaga keselamatan dan kesihatan pekerja tidak terhad hanya pada majikan semata-mata, sebaliknya turut diletakkan ke atas pihak lain yang membawa risiko ke tempat kerja termasuklah pembekal kepada bahan atau alatan yang digunakan dalam pekerjaan, pereka bentuk, pengilang dan pekerja itu sendiri.
Setelah 27 tahun akta ini dikuatkuasakan, tidak dinafikan bahawa ia telah banyak mengubah landskap KKP negara dengan penurunan kadar kemalangan pekerjaan yang ketara dari tahun ke tahun selain mewujudkan peluang pekerjaan dalam bidang ini berdasarkan keperluan Orang Yang Kompeten (OYK) seperti Pegawai Keselamatan dan Kesihatan (Safety and Health Officer - SHO) selaras dengan kehendak yang diperuntukkan dalam undang-undang tersebut.
Namun demikian, selaras dengan pertumbuhan ekonomi negara selain cabaran pengurusan KKP yang semakin kompleks dan rencam pada hari ini, hukuman yang diperuntukkan oleh akta ini (denda maksimum RM50000, atau penjara maksimum 2 tahun, atau kedua-duanya) dilihat sudah tidak relevan lagi terutamanya apabila sesuatu kemalangan pekerjaan itu menyebabkan kematian.
Oleh itu, pindaan akta tersebut dengan hukuman yang lebih berat dan setimpal yang telah dibacakan buat kali pertama dalam sidang parlimen pada November tahun lalu haruslah disegerakan.
Pandemik COVID-19
Sejak dunia dilanda COVID-19 bermula Disember 2019, semua pihak telah menghadapi suatu cabaran berkaitan dengan virus yang belum pernah dihadapi sebelumnya, seterusnya telah memberikan impak yang besar terhadap kehidupan manusia sejagat terutamanya bagi sektor pekerjaan dengan risiko jangkitan terhadap virus tersebut.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (World Health Organisation - WHO) terdapat sesetengah kes jangkitan COVID-19 mungkin disebabkan oleh pendedahan di tempat kerja terutamanya bagi industri penjagaan kesihatan dan penjagaan sosial dimana dianggarkan kira-kira 136 juta dari industri ini berisiko tinggi dijangkiti COVID-19 di tempat kerja.
ILO melaporkan sebanyak 14 peratus dari keseluruhan jumlah jangkitan global COVID-19 adalah terdiri dari pekerja kesihatan dengan 7000 kematian pada tahun 2020.
Bahkan keadaan tempat kerja yang tertutup dengan pengudaraan yang tidak baik dan ruang yang terhad sehingga menyukarkan perlaksanaan penjarakan fizikal dalam kalangan pekerja samada sewaktu bekerja, dalam kenderaan ke tempat kerja, mahu pun di tempat tinggal dipercayai telah menjadi sumber kepada penyebaran wabak ini.
Kajian menunjukkan keadaan tempat kerja yang tertutup meningkatkan risiko jangkitan sebanyak 18.7 kali ganda berbanding persekitaran terbuka.
Di Malaysia, peningkatan kes positif COVID-19 melibatkan tempat kerja adalah sangat membimbangkan dengan kemunculan kluster baru berkaitan tempat kerja dilaporkan saban hari tanpa gagal.
Berdasarkan laporan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sejak 1 Januari 2021 sehingga 27 April 2021, sebanyak 736 daripada 1103 (66.7 peratus) kluster baru yang dilaporkan adalah terdiri daripada kluster berkaitan tempat kerja.
Selain dari risiko jangkitan, perubahan cara kerja yang disebabkan oleh pandemik ini juga turut menyumbang kepada kemunculan risiko lain di tempat kerja disebabkan amalan dan prosedur kerja yang baru seperti risiko kimia, ergonomik, psikososial, keganasan dan gangguan.
'World OSH Day'
Bagi memperingati mangsa yang terlibat dalam kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja, kesatuan sekerja di seluruh dunia menetapkan 28 April bermula tahun 1996 dan pada tahun 2003 ILO telah mengisytiharkannya sebagai Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja (World OSH Day) bertujuan mempromosikan pencegahan kemalangan dan penyakit pekerjaan di tempat kerja.
Sejak tahun lalu sambutan 'World OSH Day' di seluruh dunia telah berubah wajah dengan fokus dan temanya terarah kepada pencegahan COVID-19 di tempat kerja.
Dengan tema 'Menjangka, bersedia dan bertindak balas terhadap krisis : Labur sekarang di dalam sistem KKP yang berdaya tahan' (Anticipate, prepare and respond to crises: Invest now in resilient occupational safety and health systems), sambutan pada tahun ini tertumpu kepada strategi untuk memperkuat sistem keselamatan dan kesihatan pekerjaan negara bagi membangun ketahanan dalam menghadapi krisis semasa dan pada masa depan, dengan memanfaatkan pengajaran dan pengalaman dari dunia pekerjaan.
Bagi mencapai satu sistem KKP yang berdaya tahan, ILO mencadangkan satu rangka strategi berdasarkan Rangka Promosi bagi Konvensyen Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan, 2006 (No. 187) dan Syor (No. 197) yang meliputi elemen-elemen berikut:
1- dasar dan peraturan KKP kebangsaan 2- institusi KKP kebangsaan
3- perkhidmatan kesihatan pekerjaan
4- maklumat, khidmat nasihat dan latihan mengenai KKP
5- pengumpulan data dan penyelidikan mengenai KKP
6- promosi KKP di peringkat organisasi
Melalui perlaksanaan semua elemen yang digariskan oleh ILO, satu satu sistem KKP yang berdaya tahan mampu direalisasikan yang bertujuan melindungi keselamatan dan kesihatan pekerja serta menyokong kelangsungan hidup dan kelangsungan perniagaan sewaktu sesuatu krisis melanda samada dalam keadaan semasa mahupun pada masa depan.
Keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah tanggungjawab semua
Perkara yang memang tidak akan menemui sebarang titik akhir ialah apabila semua individu di tempat kerja sentiasa mempersoalkan siapa yang bertanggungjawab atas keselamatan dan kesihatan mereka di tempat kerja?
Malahan ia akan menjadi polemik 'bangau oh bangau' apabila ramai pekerja termasuk pihak pengurusan hanya pandai menuding jari kepada personnel KKP yang dilantik seperti SHO, terutamanya jika berlaku sesuatu insiden atau kemalangan di tempat kerja mereka.
Harus diingatkan bahawa keselamatan dan kesihatan di tempat kerja adalah tanggungjawab semua dan setiap individu di tempat kerja wajib memainkan peranan mereka bagi memastikan keselamatan diri sendiri dan orang lain yang boleh terjejas dari kerja atau tindakan yang mereka lakukan.
Majikan perlu menjalankan tanggungjawab mereka dalam memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semasa bekerja semua pekerjanya.
Pekerja pula harus peka dan sedar akan tanggungjawab utama mereka berkaitan keselamatan dan kesihatan di tempat kerja, iaitu memberi perhatian yang munasabah terhadap keselamatan diri sendiri dan orang lain.
Kemalangan di tempat kerja dapat dielakkan jika semua memainkan peranan yang sewajarnya.
Selamat Hari Sedunia Bagi Keselamatan dan Kesihatan di Tempat Kerja 2021. Bersama menjalankan tanggungjawab dalam mewujudkan tempat kerja yang selamat. Patuh SOP, cegah kluster tempat kerja.

* Mohd Soffian Osman ialah Perunding Keselamatan & Kesihatan Awam, Safety Management Academy Sdn Bhd

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.

#COVID-19 #kes positif #pandemik #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #ekonomi #keganasan #kesihatan #kemalangan #mangsa #tentera #penjara #undang-undang #Parlimen #WHO #SOP #KKM #KDNK #Kementerian Kesihatan #keselamatan #tempat kerja #Kolumnis AWANI
;