Hari Sarawak disambut secara maya
Astro Awani
Julai 15, 2020 16:14 MYT
Julai 15, 2020 16:14 MYT
Buat pertama kali dalam sejarah, Hari Sarawak yang disambut pada 22 Julai setiap tahun sejak 57 tahun lalu bakal diadakan secara maya.
Acara yang bakal berlangsung di Hotel Pullman, Miri itu bagaimanapun tetap akan disambut dengan meriah serta bersesuaian dengan kelaziman baharu.
Menteri bertanggungjawab dengan penganjuran Hari Sarawak, Datuk Lee Kim Shin yang juga Menteri Pengangkutan Sarawak berkata walaupun dunia masih berdepan cabaran pandemik COVID-19, Hari Sarawak adalah detik bersejarah yang harus diingati demi membina jati diri warga Bumi Kenyalang.
“Sambutan Hari Sarawak pada tahun ini amat berbeza susulan pemularan pandemik COVID-19 yang melanda seluruh dunia masa sekarang.
“Bagaimanapun sambutan tetap diraikan dengan penuh makna. Pelbagai pengisian menggunakan platform digital telah disusun dan diatur oleh Unit Protokol dan Pengurusan Acara negeri selaku penganjur utama,” katanya dalam ketika sidang media sambutan Hari Sarawak 2020 di Dewan Undangan Negeri di sini pada Rabu.
Bertemakan Sarawak Cemerlang, mesej kemajuan, pembangunan dan perpaduan negeri dijadikan aspirasi agar warga Sarawak terus mengorak langkah kecemerlangan ke arah negeri berpendapatan tinggi menjelang tahun 2030.
Antara pengisian program termasuk dokumentari khas Marek, Kinek Tok dan Kelak, alunan kotemporari lagu tudung periuk, sitkom Kampung Selepar Putus serta segmen Kebanggaan Kamek.
Biarpun disambut dengan suasana kelaziman baharu, Kim Shin berharap rakyat terus mengibarkan bendera Sarawak demi memeriahkan semangat patriotisme negeri.
Tahun lalu, sambutan Hari Sarawak diadakan di Bintulu dan menerima kehadiran lebih 10 ribu pengunjung.
#22 Julai
#Bintulu
#Bumi Kenyalang
#COVID-19
#Hari Malaysia
#kelaziman baharu
#Kuching
#Miri
#Sarawak
#Sarawak Cemerlang