Hari Sarawak 2022: Pengorbanan Rosli Dhobi semakin dilupakan - Anak saudara
Astro Awani
Julai 22, 2022 18:56 MYT
Julai 22, 2022 18:56 MYT
KUCHING: Rosli Dhobi bukan nama asing dalam lipatan sejarah negeri Sarawak.
Dalam perjuangan menuntut menuntut kemerdekaan, Rosli nekad menikam Gabenor British Sarawak yang kedua, Sir Duncan Stewart dengan pisau beracun pada 3 Disember 1949.
Perjuangannya menentang penjajah itu malangnya membawa Rosli ke tali gantung.
Kini selepas lebih tujuh dekad, keluarga wira kemerdekaan ini berkongsi luahan hati mereka mengenai nilai pengorbanan Rosli Dhobi bagi generasi masa kini.
Bagi anak saudaranya, Musa Ainnie Dhobi, 62, tanpa berselindung menzahirkan rasa sedihnya apabila perjuangan bapa saudaranya itu bagaikan tidak dihargai generasi Sarawak hari ini.
‘’Kadang-kadang orang tidak ambil peduli tentang kisah pejuang, malah mereka tidak ambil tahu. Di Semenanjung, mereka mengangkat kisah perjuangan pahlawan Mat Kilau di layar perak, tetapi kita di Sarawak?
‘’Kalau dahulu mereka yang memperjuangkan kemerdekaan Sarawak, mungkin tanpa mereka kita tidak akan mencapai kemerdekaan yang dicari,’’ katanya.
Untuk itu sempena sambutan Hari Sarawak tahun ini, Musa berharap agar generasi muda sentiasa menjadikan perjuangan Rosli Dhobi sebagai satu aspirasi demi mengekalkan kemerdekaan negeri itu.
‘’Sepatutnya generasi muda menghargai semangat perjuangan ini memandangkan segelintir mereka agak jauh menyimpang hala tujunya.
‘’Jadi semangat cintakan negeri, patriotisme amat penting disemat sebagai jati diri. Sebagai contoh, Rosli Dhobi mula berjuang menuntut kemerdekaan pada usia 17 tahun, masih muda. Oleh itu kita mesti menyerap ke dalam jiwa semangat perjuangan ini,’’ ujarnya.
Tambahnya, bukan hanya Rosli Dhobi namun ramai lagi tokoh pejuang Sarawak yang berkorban nyawa demi mempertahankan ibu pertiwi.
‘’Kalau diikutkan masih ramai kisah pejuang anak Sarawak boleh diceritakan misalnya di Sibu ini sendiri.
‘’Sebagai contoh kisah perjuangan semasa era komunis melibatkan seorang pejuang Iban, Penghulu Emban.
‘’Begitu juga kisah Kanang Anak Langkau, selain itu kisah Supritendan Mustapha dari Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditembak mati semasa pertempuran dengan komunis di Durin, Sibu,’’ katanya lagi.
Jenazah Rosli Dhobi dikebumikan di Penjara Pusat Kuching sebelum disemadikan semula di Makam Pahlawan Sarawak di Sibu pada 2 Mac 1996 selepas 46 tahun.