Hari Sarapan Terbesar Milo catat penyertaan 60,000 orang
Raja Hisyam Raja Zaid
Mei 14, 2017 13:43 MYT
Mei 14, 2017 13:43 MYT
Lebih 60,000 peserta memeriahkan program Hari Sarapan Terbesar Milo 2017 sejak ia menjelajah ke tujuh destinasi bermula Mac lalu.
Acara yang berlangsung awal pagi tadi di Presint 4 di sini adalah penganjuran terakhir program tersebut yang menyaksikan ribuan warga sekitar Putrajaya hadir menyertainya.
Sebelum ini program Hari Sarapan Terbesar Milo 2017 telah menjelajah ke Pulau Pinang, Kota Kinabalu, Kuching, Johor Bahru, Kuantan dan Kota Bahru dalam tempoh dua bulan.
Program di Putrajaya ini adalah penutup bagi tahun 2017 dengan pelbagai acara menarik diatur.
Antaranya termasuklah acara larian 3 dan 5 kilometer yang mendapat sambutan meriah selain acara-acara sampingan yang lain.
Menurut Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo Philomena Tan, acara ini mungkin akan diteruskan pada tahun akan datang.
"Kita sangat berbangga hari ini dapat melihat begitu ramai menyertai kita. Ini adalah acara akhir selepas kita telah berkunjung ke enam buah lokasi dan sangat berbangga melihat ramai rakyat Malaysia keluar untuk menyertai program kami.
"Memandangkan sambutan yang diterima, ini membuatkan kita mahu meneruskannya kerana ramai rakyat Malaysia belum mengubah tabiat sarapan mereka," ujarnya.
Larian dilepaskan oleh Naib Presiden Jabatan Bandar Perbandaran Putrajaya Datuk Azizi Ahmad Termizi dan Philomena Tan.
Peserta program tersebut juga menikmati sarapan secara percuma yang disediakan penganjur.
Kebanyakan daripada mereka yang menyertai acara tersebut mengambil kesempatan menghabiskan waktu kualiti bersama keluarga pada cuti hujung minggu.