Hari Raya Aidilfitri: Pemilik premis di Taiping digalak pasang lampu hiasan

Abd Razak Mohd Ali
April 29, 2022 10:40 MYT
Khairul Amir berkata, suasana sambutan hari raya tahun ini perlu kelainan dalam menyambut mereka yang sudah lama tidak pulang ke Taiping akibat kekangan pandemik COVID-19. - Gambar hiasan/BERNAMA
TAIPING: Menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, pemilik premis di dalam kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Taiping (MPT) digalakkan memasang lampu hiasan.
Yang Dipertua MPT Khairul Amir Mohamad Zubir berkata, ia bertujuan memeriahkan lagi suasana sekitar kawasan Taiping.
Menurutnya, pemilik premis kerajaan, perniagaan, kilang, hotel, gerai, rumah persendirian, rumah awam, sekolah, pusat pengajian dan rumah ibadah amat digalakkan berbuat demikian.
“Semoga dengan usaha ini memeriahkan lagi sambutan Aidilfitri kerana pada tahun ini anak-anak perantau boleh pulang ke Taiping menyambut hari raya.
“Suasana sambutan hari raya pada tahun ini perlu kelainan menyambut mereka yang lama tidak pulang ke Taiping akibat kekangan pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap ketika mesyuarat penuh MPT di sini, hari ini.
JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK
Beliau berkata, kerajaan telah meneliti dan melakukan semakan semula ke atas langkah-langkah kawalan dan pencegahan COVID-19 yang boleh dilaksanakan semasa dalam fasa peralihan ke endemik mulai 1 Mei ini.
“Semoga dengan semakan semula langkah-langkah kawalan dan pencegahan ini memberi makna pada kita untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri pada minggu hadapan,” ujarnya.
#Hari Raya Aidilfitri #lampu hiasan #Ramadan #pemilik premis di Taiping
;