Hari Raya Aidiladha: Lawatan khas klien di Puspen ditangguh

Hasimi Muhamad
Julai 16, 2021 12:59 MYT
Semua program lawatan dan perjumpaan khas keluarga bersama klien di Puspen di seluruh negara ditangguhkan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Semua program lawatan dan perjumpaan khas keluarga bersama klien di Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) di seluruh negara ditangguhkan sempena sambutan Hari Raya Aidiladha yang akan diraikan pada 20 Julai ini.
Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam satu kenyataan memaklumkan ia diputuskan
sebagai usaha dan langkah agensi untuk mencegah penularan jangkitan COVID-19 dengan melihat situasi semasa sistem kesihatan dan Pelan Pemulihan Negara (PPN).
“Walau bagaimanapun, agensi menyediakan medium panggilan video sebagai menggantikan kaedah bersemuka kepada keluarga sempena sambutan tersebut.
“Bagi tujuan itu, AADK meminta agar semua keluarga yang ingin membuat panggilan video tersebut untuk membuat tempahan terlebih dahulu dengan menghubungi Puspen yang berkenaan untuk urusan janji temu,” menurut kenyataan tersebut, hari ini.
Tambah agensi itu lagi, Puspen berkaitan juga akan menetapkan tarikh dan tempoh masa panggilan video berdasarkan kekosongan yang disediakan.
Orang ramai boleh menghubungi Puspen berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.
Maklumat seperti nombor telefon Puspen boleh didapati di laman web AADK di www.adk.gov.my.
#Aidiladha #hari raya #COVID-19 #jangkitan #PUSPEN #Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan #Dadah #panggilan video
;