Hari Radio Sedunia: Peranan makin terserlah ketika dunia dilanda COVID-19
Fauzi Suhaimi
Februari 13, 2021 13:28 MYT
Februari 13, 2021 13:28 MYT
KUALA LUMPUR: Semua rangkaian radio di bawah kelolaan Measat Broadcast Network System (Astro) akan terus komited memainkan peranan menyampaikan maklumat dan nasihat khususnya berkaitan situasi pandemik COVID-19 kepada semua pendengar setianya.
Pengurus Rangkaian Kandungan Jenama Radio Melayu Astro, Nazri Noran berkata, perkara itu antara tanggungjawab yang diamanahkan kepada pihaknya agar setiap maklumat yang sahih dan tepat sampai kepada masyarakat selain menyerlahkan lagi peranan penting medium itu di waktu ini.
"Sekarang ini, kita mengambil langkah untuk mengetengahkan semua maklumat yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) berkaitan situasi semasa COVID-19.
"Ini kerana, kami berasa terpanggil untuk menyampaikan setiap maklumat termasuk prosedur operasi standard (SOP) yang dilakukan kerajaan sama ada ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau PKP Bersyarat (PKPB)," katanya kepada Astro AWANI sempena Hari Radio Sedunia Sedunia 2021 di sini, pada Sabtu.
Hari Radio Sedunia disambut pada setiap 13 Februari setiap tahun bagi menghargai peranan lebih 100 tahun radio sebagai medium penyampai maklumat selain menjadi platform hiburan dan industri muzik di seluruh dunia.
Sempena sambutan tahun ini, Pertubuhan Pendidikan, Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, (UNESCO) mengangkat tema evolusi, inovasi dan kesalinghubungan.
Dalam pada itu, Nazri berkata, selain menyampaikan maklumat, pihaknya turut menjalankan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sebagai usaha membantu pendengar yang terkesan akibat COVID-19 selain menghargai jasa mereka.
"Menerusi program '#Kami Care M Biz' yang digerakkan sejak Januari lalu, kami menyediakan ruang iklan perniagaan kepada semua perusahaan kecil dan sederhana (PKS) sama ada yang baharu atau lama untuk mempromosi produk jualan masing-masing.
"Alhamdulillah, program ini mendapat sambutan yang menggalakkan menerusi semua rangkaian radio kami iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Tamil dan Cina.
"Program ini akan berakhir pada April ini dan jika keadaan memerlukan, kita bersedia untuk lanjutkan lagi pada suatu tempoh yang akan ditetapkan kelak," katanya.
#COVID-19
#perintah kawalan pergerakan
#Majlis Keselamatan Negara
#hiburan
#pendidikan
#SOP
#PKS
#Unesco
#keselamatan
#pandemik
#PKPB
#PKP
#Hari Radio Sedunia
#radio