Hari pertama PPV Integrasi Axiata Arena terkawal, lancar
Eton Khir
Januari 15, 2022 18:12 MYT
Januari 15, 2022 18:12 MYT
KUALA LUMPUR: Situasi hari pertama di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Axiata Arena Bukit Jalil pada Sabtu terkawal dan berjalan lancar.
Tinjauan Astro AWANI mendapati, rata-rata mereka yang hadir pada hari pertama di PPV tersebut adalah dalam lingkungan usia 20 sehingga ke 30 tahun dan memberikan maklum balas positif terhadap usaha itu yang dilihat sebagai satu kemudahan baik bagi memantapkan imuniti badan memerangi wabak COVID-19 yang telah melanda dunia sejak dua tahun lalu.
Bagi Anthony Tan, 34, dia berpendapat langkah pencegahan awal seperti pengambilan dos penggalak ini adalah satu langkah yang bijak dan orang ramai katanya tidak perlu gusar dengan khabar angin yang tidak sahih.
"Mungkin ada yang mengalami simptom seperti sakit kepala atau demam namun tidak ada perkara yang perlu dirisaukan. Ianya tidaklah sehingga memudaratkan. Tidak kiralah anda muda mahupun tua, ambilah dos penggalak ini kerana usaha untuk mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati," katanya.
Manakala, bagi Mohamed Hafiz Niaz Mohamed, 32, pula, dia menyambut baik inisiatif kerajaan ini dan turut berkongsikan pengalaman beliau yang pernah dijangkiti serta kehilangan orang yang tersayang akibat wabak itu.
"Berdasarkan pengalaman saya sendiri, saya juga sebenarnya seorang bekas pesakit COVID-19. Malahan, saya juga pernah kehilangan rakan dan ahli keluarga disebabkan oleh oleh jangkitan COVID-19 ini. Makanya, dengan pengambilan dos penggalak ini sebenarnya adalah satu langkah yang tepat untuk melindungi diri dan ahli keluarga," katanya.
Sementara itu, bagi R. Samyukhta, 20, dia nekad mengambil vaksin itu kerana melihat wabak berkenaan semakin berleluasa dengan pelbagai varian berbahaya yang muncul sejak kebelakangan ini.
"Lagi sekali, semuanya adalah mengenai keselamatan dan dos penggalak merupakan satu usaha untuk kita melindungi diri daripada jangkitan COVID-19. Lebih lagi, kini dengan jangkitan varian Omicron yang semakin berleluasa. Jelas ini adalah langkah terbaik pada ketika ini," katanya.
Di samping itu, G. Kogulan, 32, pula ingin divaksinasi secepat mungkin kerana menganggapnya sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan.
"Kini, ianya sudah menjadi sebahagian daripada tanggungjawab. Bukan sahaja demi melindungi diri dan keluarga namun termasuk masyarakat. Apatah lagi kanak-kanak, yang sememangnya kita tahu perlu dijaga dan dilindungi," katanya.