Hari pertama 2024, ratusan warga asing di Brickfields 'digempur' Imigresen

Ridauddin Daud
Januari 1, 2024 16:20 MYT
Seramai 335 lelaki dan 35 wanita dari India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Myanmar dan Nepal diperiksa dalam serbuan itu. - Astro AWANI / Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) membuka cerita Tahun Baharu 2024 dengan menggempur 'port' warga asing di Brickfields, Kuala Lumpur pada Isnin.
Dalam serbuan itu, seramai 370 warga asing telah diperiksa manakala lebih 100 daripada mereka didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JIM, Jafri Embok Taha berkata seramai 335 lelaki dan 35 wanita dari India, Bangladesh, Filipina, Pakistan, Sri Lanka, Filipina, Myanmar dan Nepal diperiksa dalam serbuan itu.
Semua pekerja warga asing itu berusia dalam lingkungan 25 hingga 71 tahun.
“Pada hari ini kita memeriksa 370 orang dalam operasi ini. Daripada jumlah ini, lebih 100 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) telah ditahan atas pelbagai kesalahan.
“Tetapi jumlah muktamad dimaklumkan selepas proses dokumentasi dijalankan di Putrajaya kerana warganegara asing yang kita periksa ada dokumen mereka tidak lengkap dan ada kita tidak perolehi.
“Jadi, kita bawa dulu ke putrajaya. Dari segi dokumen mungkin ada majikan yang akan hantar dokumen berkenaan dan pasport, dan akan hantar kemudian. Dari segi anggaran lebih 100 orang (ditahan),” katanya.
Operasi itu juga menyaksikan 30 premis diperiksa dan ketika serbuan, ada beberapa warga asing melarikan diri dan ada juga yang mempersoalkan tindakan penguat kuasa.
Jafri Embok berkata, operasi bersepadu bermula jam 1 petang itu melibatkan seramai 224 anggota dengan 207 pegawai daripada JIM, 11 anggota daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan enam dari Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Tambah beliau, Brickfields dipilih sebagai lokasi serbuan selepas pihaknya menerima banyak aduan daripada orang awam berkaitan isu warga asing di kawasan tersebut.
Tegasnya, selepas ini JIM akan ‘menggempur’ majikan dan individu yang melindungi warga asing pula.
“Selepas ini, kita lebih fokus kepada majikan dan pihak yang melindungi PATI…kerana mereka yang menyebabkan kebanjiran PATI ke negara kita. Sindiket-sindiket sebegini puncanya.
“Apa nasihat kepada majikan?
“Kepada majikan, kita minta mereka ambil tenaga pekerja mengikut peruntukan undang-undang Imigresen.
“Jangan ambil pekerja mengikut cara tidak sah,” ujarnya.
Dalam pada itu, ketika ditanya berhubung keadaan Jalan Silang di Kuala Lumpur yang kembali menjadi ‘Mini Dhaka’, beliau berkata warga asing di sana mempunyai dokumen sah.
Menurutnya, kawasan itu kembali menjadi tumpuan kerana hari cuti meskipun pernah diserbu dengan lebih 1,000 warga asing ditangkap sebelum ini.
“Isu Jalan Silang, kita dah buat operasi. Memang majoriti mereka ada dokumen. Jadi mereka ini ada dokumen.
“Mungkin kerana hari cuti, mereka datang dan situ jadi tempat tumpuan kerana bertemu rakan senegara dan juga mereka bersiar-siar sahaja tapi mereka ada dokumen dan bukan PATI,” katanya.
#pendatang asing #pati #Imigresen #Bangladesh #Pakistan #Brickfields
;