Hari Penduduk Sedunia 2023: Platform tingkatkan kesedaran kesaksamaan gender

Astro Awani
Julai 11, 2023 11:30 MYT
Hari Penduduk Sedunia 2023 wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu dan cabaran semasa kependudukan di negara ini lebih-lebih lagi berkaitan isu kesaksamaan gender. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR : Hari Penduduk Sedunia 2023 wajar diberi perhatian dan dijadikan platform untuk meningkatkan kesedaran masyarakat berhubung isu dan cabaran semasa kependudukan di negara ini lebih-lebih lagi berkaitan isu kesaksamaan gender.
Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) berkata, ini selaras dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh kerajaan dalam memartabatkan kumpulan sasar.
"Ini adalah selaras dengan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kerajaan dalam memartabatkan kumpulan sasar KPWKM menerusi komitmen negara di bawah Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW), Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Konvensyen Hak Asasi Orang Kurang Upaya (CRPD).
"Malaysia juga menzahirkan komitmen dan solidariti bersama negara anggota Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk merealisasikan agenda Matlamat 5 Pembangunan Mampan (SDG) 2030.
"Justeru, bersempena sambutan hari penduduk pada tahun ini, KPWKM dengan kerjasama DOSM, UNFPA dan Universiti Malaya (UM) akan melaksanakan satu forum berkaitan kependudukan yang bakal mengupas dan menjelaskan tema tersebut," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Forum tersebut akan diadakan pada penghujung Julai ini melibatkan barisan panel yang mempunyai
kepakaran dalam isu kependudukan dan kesaksamaan gender.
Hari Penduduk Sedunia 2023 mengetengahkan tema "Mengorak Kuasa Kesaksamaan Gender: Memperkasa Suara Wanita dan Kanak-Kanak Perempuan Bagi Membuka Peluang Dunia Tanpa Batas".
Tema ini adalah selaras dengan inisiatif semasa kerajaan untuk menangani isu kependudukan secara kolektif dalam usaha memperkasa peranan wanita dan mengarus perdana gender dalam pembangunan negara.
#KPWKM #PBB #Hari Penduduk Sedunia 2023 #Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara
;