Hari Pelarian Sedunia bina empati, rai keberanian pelarian cari perlindungan

Astro Awani
Jun 20, 2022 14:18 MYT
Hari Pelarian Sedunia membina empati dan pemahaman terhadap nasib mereka dan untuk mengiktiraf usaha mereka dalam membina semula kehidupan. - Reuters
KUALA LUMPUR: Hari Pelarian Sedunia merupakan hari yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa Bersatu untuk menghormati pelarian di seluruh dunia.
Ia jatuh pada 20 Jun setiap tahun dan meraikan kekuatan dan keberanian mereka yang terpaksa meninggalkan negara asal untuk melarikan diri dari konflik atau penganiayaan.
Hari Pelarian Sedunia adalah satu peluang untuk membina empati dan pemahaman terhadap nasib mereka dan untuk mengiktiraf usaha mereka dalam membina semula kehidupan.
Hari Pelarian Sedunia 2022
Siapa pun mereka, pelarian harus dilayan dengan bermaruah. Sesiapa sahaja berhak mendapatkan perlindungan, tidak kira siapa atau kepercayaan mereka. Ia bukan sesuatu yang perlu dibincangkan kerana keselamatan adalah hak asasi manusia.
Dari mana pun asal mereka, pelarian harus dialu-alukan. Mereka mempunyai hak untuk dilindungi dari semua ancaman seperti peperangan, keganasan dan penganiayaan.
Apakah maksud mencari perlindungan?
1. Hak untuk mendapatkan suaka
Sesiapa sahaja yang melarikan diri daripada penganiayaan, konflik atau pencabulan hak asasi manusia mempunyai hak untuk mendapatkan perlindungan di negara lain.
2. Akses selamat
Sempadan harus kekal terbuka kepada pelarian yang terpaksa melarikan diri. Mengehadkan akses dan menutup sempadan boleh menjadikan perjalanan lebih berbahaya bagi mereka.
3. Tiada tolak balik
Mereka tidak boleh dipaksa untuk kembali ke negara asal jika nyawa atau kebebasan mereka terancam. Ini bermakna bahawa sesebuah negara tidak seharusnya menolak pelarian tanpa menilai terlebih dahulu bahaya yang akan mereka hadapi di tanah air mereka.
4. Tiada diskriminasi
Mereka tidak seharusnya didiskriminasi di sempadan. Semua permohonan untuk mendapat status pelarian mesti diberi pertimbangan yang saksama, tanpa mengira faktor seperti bangsa, agama, jantina dan negara asal.
5. Perlakuan yang berperikemanusiaan
Pelarian harus dilayan dengan hormat dan bermaruah. Mereka berhak mendapat layanan yang selamat dan bermaruah seperti mana-mana manusia. Antara lain, ini bermakna mengekalkan mereka bersama keluarga masing-masing, melindungi mereka daripada pemerdagangan, dan mengelakkan penahanan tanpa sebab.
#hari pelarian sedunia #pelarian #Pertubuhan Bangsa Bersatu #perlindungan
;