Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyeru warga pekerja awam dan swasta agar melaksanakan kerja dan tanggungjawab dengan mengamalkan prinsip amanah dan penuh integriti dalam membantu memacu kemakmuran negara.

Jelasnya, meskipun terdapat pendapat yang bercanggah, namun konsep menang-menang dengan hubungan yang baik di antara kerajaan, pihak majikan dan pekerja menerusi hubungan tripartisme membawa kepada penyelesaian isu bersama.

“Hubungan tripartisme yang baik antara kerajaan, pekerja dan majikan menjadi pendorong kepada pertumbuhan ekonomi negara.

"Sungguhpun ada ketikanya kita mungkin bercanggah pendapat, akhirnya penyelesaian “win-win” atau menang-menang tercapai dan ini akan memberi manfaat kepada rakyat dan negara,” jelas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam ucaptama perasmian Majlis Sambutan Hari Pekerja 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini pada Rabu.


Perdana Menteri turut menjelaskan dasar kerajaan baharu adalah memberi keutamaan kepada pekerja tempatan dalam mendapatkan peluang pekerjaan.

Malah pelbagai inisiatif telah dan sedang dilaksanakan dalam mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan belia dan golongan muda serta mempertingkatkan penyertaan wanita.

“Dalam era Internet of Things (IoT), portal JobsMalaysia versi 2.0 yang baharu, yang dibangunkan oleh Kementerian Sumber Manusia telah menawarkan platform mencari pekerjaan yang lebih fleksibel kepada rakyat untuk meningkatkan penempatan pekerjaan dan mengurangkan ‘mismatch’.

"Rakyat juga boleh mendapat perkhidmatan JobsMalaysia melalui penganjuran karnival kerjaya yang diadakan secara berkala dari semasa ke semasa,” tambah Tun Mahathir.

Untuk rekod, Jabatan Tenaga Kerja di bawah Kementerian Sumber Manusia telah berjaya menempatkan 48,372 siswazah dan 122,868 bukan siswazah dalam pelbagai sektor pekerjaan melalui aktiviti seperti Karnival Kerjaya, Client Account, Temuduga Terbuka, Program Kerjasama Antara Agensi, Program Penempatan Golongan Khas dan sebagainya.

Hadir sama Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran dan Timbalan Menteri Datuk Mahfuz Omar.