Hari Pekerja: Majikan perlu sedia struktur kemajuan kerjaya pekerja - MEF

Bernama
April 30, 2023 15:36 MYT
Syed Hussain juga mengingatkan agar tiada sebarang diskriminasi di tempat kerja dan semua pekerja perlu dilayan secara adil dan saksama.
KUALA LUMPUR: Kalangan majikan perlu bertindak menyediakan struktur kemajuan kerjaya pekerja masing-masing bagi membolehkan perkembangan jangka panjang terbabit dapat dilihat, sekali gus membantu usaha menarik dan mengekalkan bakat terbabit.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata adalah penting bagi majikan untuk mempunyai disiplin dalam mewujudkan amalan tempat kerja yang adil serta bertanggung jawab.
Dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Pekerja esok, beliau juga mengingatkan agar tiada sebarang diskriminasi di tempat kerja dan semua pekerja perlu dilayan secara adil dan saksama.
"Kemampuan pekerja dalam menunaikan tanggung jawab juga perlu diiktiraf dan diberi ganjaran berdasarkan merit.
"Malah, sebagai majikan, kita perlu sentiasa menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat, pekerja dilatih serta berkemahiran untuk melakukan kerja masing-masing.
"Kita perlu memastikan gaji dan manfaat yang diberikan adalah sejajar dengan kadar pasaran, risiko dan kebertanggungjawaban pekerjaan tersebut," katanya.
Syed Hussain berkata pekerja juga diharapan untuk mematuhi kehendak organisasi kerja masing-masing dan keamanan serta keharmonian industri perlu dikekalkan bagi membolehkan negara terus maju.
"Bagi tujuan itu, MEF ingin berterima kasih kepada majikan dan kesatuan sekerja masing-masing di atas persefahaman serta kerjasama ketika tempoh sukar dan mencabar akibat pandemik COVID-19 yang menyaksikan aspek harmoni itu dapat dikekalkan.
"Ini menerusi usaha meletakkan asas yang tepat bagi membolehkan ekonomi negara pulih dengan lebih pantas dan baik," katanya.
-- BERNAMA
#Syed Hussain Syed Husman #majikan #Hari Pekerja #Pekerja
;