Hari Pekerja: Kesatuan sekerja perlu lebih kreatif tarik keahlian, dekati belia

Hafizi Rosli
Mei 1, 2022 11:50 MYT
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook bimbang akan tahap penyertaan pekerja dalam kesatuan yang masih rendah di Malaysia iaitu pada kadar enam peratus - Astro AWANI/Shahir Omar
Kesatuan sekerja perlu lebih kreatif dan fleksibel dalam pendekatan mereka untuk menarik keahlian dan mendekati generasi muda.
Jelas Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, beliau bimbang akan tahap penyertaan pekerja dalam kesatuan yang masih rendah di Malaysia iaitu pada kadar enam peratus.
Dalam satu kenyataan pada Ahad, ini ditambah lagi dengan pertambahan pekerjaan di sektor perkhidmatan, dalam ekonomi gig, dan ke arah syarikat yang lebih kecil.
Katanya, peranan kesatuan sekerja dalam memperjuangkan hak pekerja adalah amat penting untuk memastikan suara pekerja didengari dengan lantang dan jelas.
Dengan infrastruktur dan daya upaya kesatuan yang kukuh, majikan dan kerajaan juga dapat bekerjasama dengan ahli kesatuan sekerja dan pekerja.
Ini bagi memperkenalkan dasar yang boleh meningkatkan kesejahteraan, upah, dan produktiviti pekerja di setiap peringkat.
Dalam pada itu, kesatuan pekerja juga harus mengalu-alukan program latihan dan merintis sistem upah yang dikaitkan dengan produktivti (PLWS) dalam industri dan sektor tertentu.
Ia sebagai sebahagian daripada visi jangka panjang untuk meningkatkan gaji dan taraf hidup keseluruhan pekerja di Malaysia.
Dalam pada itu, Anthony Loke turut menyeru agar kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang operasi buruh paksa dan iklan palsu dalam talian yang sengaja mahu memperdaya belia tempatan yang sedang mencari peluang pekerjaan.
Beliau turut menggesa agar pihak berkaitan seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu bekerjasama dengan syarikat media sosial seperti Facebook dan Google untuk menghapuskan sindiket berkenaan.
Ia juga bagi memastikan si pesalah didakwa di mahkamah.
Selain itu kerjasama dengan pihak berkuasa di negara jiran juga perlu untuk menghentikan penjenayah dan membawa pekerja Malaysia pulang ke pangkuan keluarga mereka.
#DAP #Hari Pekerja #kesatuan sekerja #Anthony Loke
;