Hari Pekerja: 10 perkara bagi pelihara kepentingan pekerja dan rakyat - UNI-MLC

Astro Awani
Mei 1, 2021 14:50 MYT
UNI-MLC berharap setiap pihak, terutama dan Kerajaan dan majikan akan bertindak segera demi menambah baik dan menjamin kebajikan para pekerja.- Gambar hiasan
PEKERJA-PEKERJA akan menyambut Hari Pekerja 2021, tahun kedua di sebalik impak pandemik COVID-19 – krisis kesihatan paling buruk dialami oleh rakyat Malaysia dan seluruh dunia. Dunia masih belum ada jawapan yang jelas bila pandemik ini akan berakhir dan kita boleh kembali menikmati kehidupan yang normal meskipun pelbagai jenis vaksin telah diketengahkan di pasaran pada hari ini.
Di satu pihak, pekerja-pekerja terus berhadapan dengan situasi yang amat sukar dalam mengharungi kelangsungan kehidupan mereka. Pelbagai agensi sosioekonomi dalam dan antarabangsa serta pakar-pakar ekonomi telah mengunjurkan bahawa taraf sosioekonomi golongan peserta telah merosot dan membawa gelombang kemiskinan baharu ekoran badai COVID-19 sejak 16 bulan yang lalu.
Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (Union Network International-Malaysia Labour Centre (UNI-MLC), meramalkan kesan pelbagai dimensi yang sedang dilalui oleh para pekerja negara ini serta anggota keluarga dan tanggungan mereka, akan meningkat buruk dalam bulan-bulan akan datang.
Pekerja-pekerja yang berhadapan dengan impak COVID-19, rata-rata kini hidup dalam keadaan amat tertekan akibat kehilangan pekerjaan, kemerosotan pendapatan dan kenaikan kos sara hidup yang melampau. Keadaan ini secara langsung dan secara tidak langsung turut mengakibatkan isu-isu sosial yang lain.
Meskipun pihak Kerajaan Pusat telah memperkenal dan sedang melaksanakan beberapa pakej bantuan secara langsung dan secara tidak langsung dan membentuk sebuah Majlis Pekerjaan Negara, UNI-MLC berpandangan satu usaha, inisiatif dan program yang bersifat holistik perlu diambil dengan segera bagi memelihara kepentingan para pekerja, rakyat dan negara ini.
UNI-MLC berharap setiap pihak, terutama dan Kerajaan dan majikan akan bertindak segera demi menambah baik dan menjamin kebajikan para pekerja.
Sehubungan dengan itu, sempena Hari Pekerja 2021, UNI-MLC mengemukakan 10 perkara seperti yang berikut bagi perhatian pihak Kerajaan dan majikan:
Perkara 1: Kerajaan perlu mengadakan Sesi Libat Urus Bersama Pemimpin Kesatuan Sekerja
Kerajaan hendaklah mengadakan sesi libat urus bersama pemimpin kesatuan sekerja di semua peringkat bagi mendengar rintihan, keluhan dan pandangan golongan pekerja. Sesi libat urus bersama YAB Perdana Menteri dan Menteri Sumber Manusia bersama kesatuan sekerja secara berkala sangat diperlukan bagi membina persekitaran perhubungan perusahaan yang harmoni. Sesi libat urus sedemikian yang dilihat amat penting untuk mewujudkan hubungan dua hala antara pekerja dan Kerajaan.
Perkara 2: Tawaran Gaji/Upah Yang Terlalu Rendah
Peluang-peluang pekerjaan pada hari ini kelihatan tidak begitu mesra pekerja kerana majikan kebanyakannya menggunakan alasan pandemik COVID-19 dengan menawarkan gaji/upah yang terlalu rendah dan tidak munasabah sehingga mengakibatkan para pekerja berhadapan dengan satu bentuk tekanan yang teramat serius. Sebahagian besar pekerja terpaksa melakukan dua hingga tiga kerja untuk menyara diri dan keluarga mereka, sekali gus menjejaskan dengan teruk kualiti hidup mereka.
Perkara 3: Kawalan Harga Barangan
Mendesak Kerajaan mengadakan dan menguatkuasakan mekanisme kawalan harga yang lebih efektif dan mesra rakyat bagi menangani kesan kenaikan kos sara hidup. Kawalan harga barangan sejak setahun lalu didapati tidak kena pada sasaran. Sewajarnya ketika COVID-19 ini, kesemua jenis barang dikenakan kawalan harga, dan ditetapkan pada kadar tertentu demi menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan pekerja. Dicadangkan agar ketika darurat kesemua barang keperluan asas wajar diletakkan dalam skop kawalan harga sepanjang masa agar para peniaga tidak mengambil kesempatan sehingga merugikan rakyat jelata.
Perkara 4: Hindari Politik Yang Melampau
Hindari politiking yang melampau dan mengelakkan ‘mainan politik’ berlebihan termasuk mengetepikan buat sementara waktu segala bentuk gesaan yang mahukan Pilihan Raya Umum diadakan dalam waktu terdekat. Sebaliknya, kesemua parti dan ahli politik hendaklah memberi tumpuan ke atas kebajikan rakyat Malaysia terlebih dahulu, termasuk memastikan mereka menerima suntikan vaksin COVID-19. Pilihan raya boleh menunggu. Nyawa rakyat memerlukan perlindungan kesihatan yang sewajarnya. Jangan bertindak sehingga ‘kenderaan berpolitik yang melampau’ menjadi punca kepada jangkitan gelombang keempat. Sebagai langkah membendung penularan wabak COVID-19 dan memastikan keselamatan dan kesihatan pekerja terjamin, peranan semua pihak harus jelas dan padat.
Perkara 5: Menghormati Perjanjian Kolektif (CA)
Majikan hendaklah menghormati semangat perhubungan perusahaan yang harmoni dan Perjanjian Kolektif (CA). Majikan tidak wajar menggunakan alasan COVID-19 untuk menekan kesatuan dan pekerja, dan tidak mahu menghormati prinsip CA. Sesetengah majikan mendakwa mereka ada kuasa budi bicara dalam menentukan segala perkara, termasuk kebajikan dan soal upah dan ada juga majikan menggunakan kuasa budi bicara secara unilateral untuk menafikan kenaikan gaji, bayaran bonus dan pelarasan gaji dengan menggunakan COVID-19 sebagai alasan. Bagaimana kita boleh memelihara perhubungan perusahaan yang baik dan harmoni sekiranya majikan tidak mahu menghormati hak dan kebajikan pekerja? Isu ini menjadi semakin buruk sepanjang 16 bulan lalu sejak COVID-19 melanda negara. Terdapat majikan yang bertindak tidak adil dengan mengurangkan faedah-faedah yang telah pun dipersetujui dalam CA.
Perkara 6: Pencen Pesara Syarikat Berkaitan GLC
Sudah tiba masa bagi Kerajaan mengambil tindakan penyelesaian segera bagi mengkaji semula kadar bayaran pencen terlalu rendah yang diterima oleh lebih 100,000 pesara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) susulan program penswastaan pada awal 1980-an dan 1990-an. Terdapat dalam kalangan pesara yang perkhidmatan mereka tidak cukup 25 tahun menerima pencen serendah RM180 sebulan. Diharap Kerajaan akan mengambil peduli dengan tuntutan ini dan akan memberi perhatian demi menjaga kebajikan pesara-pesara terbabit. Bayaran pencen rendah yang diterima adalah satu daripada masalah sosial dan ekonomi.
Perkara 7: Integriti dan Rasuah
Perlu ada satu usaha menyeluruh untuk menangani isu integriti dan rasuah yang melibatkan sektor awam dan swasta di semua peringkat. Usaha memerangi isu ini perlu dilaksanakan secara konsisten sepanjang masa. Ketirisan nilai berintegriti dan mengamalkan rasuah perlu dihapuskan kerana memudaratkan negara dan rakyat dengan teruk. Kerajaan perlu bertindak tegas dan konsisten, jika tidak ia akan merosakkan sistem perkhidmatan kepada rakyat, selain menjejaskan keyakinan para pelabur. Tindakan perlu diambil tanpa mengira kedudukan dan jawatan, termasuk menyemak semula undang-undang bagi menutup segala ruang jenayah rasuah.
Perkara 8: Penyediaan Kerangka Perundangan Holistik
Kerajaan perlu dengan segera menyediakan kerangka perundangan holistik yang boleh memberi definisi baharu mengenai keselamatan sosial, pasaran pekerjaan dan buruh di negara ini dengan mengambil kira impak yang diakibatkan oleh COVID-19. Selepas lebih enam dekad negara merdeka, sudah tiba masa untuk Malaysia menyemak semula undang-undang buruh supaya tidak ada pihak yang mengambil kesempatan dan tidak ada pihak yang tercicir daripada menikmati perlindungan sewajarnya. Kebanyakan undang-undang buruh kita masih ketinggalan jauh. Kita perlu meminda Akta Kerja, Akta Kesatuan Sekerja, Akta Perhubungan Perusahaan, Akta Pertubuhan Keselamatan Sosial serta mewujudkan peruntukan-peruntukan baharu selari dengan landskap, cabaran dan keperluan terkini. UNI-MLC juga berpandangan bahawa langkah semakan undang-undang ini amat diperlukan bagi menangani kesan dan impak proses digitalisasi.
Perkara 9: Pelan/Model Ekonomi Baru
Merangka satu pelan atau model ekonomi yang baharu dengan mengambil kira kesan dan impak yang dicetuskan oleh COVID-19. Pelan atau ekonomi harus menyediakan kerangka upah yang lebih mesra pekerja dan peluang-peluang pekerjaan baharu di sebalik COVID-19 dan kehadiran Revolusi Perindustrian 4.0 (IR4.0).
Perkara 10: Hubungan Kerajaan dan Kesatuan Sekerja
Memberi imej baharu kepada hubungan Kerajaan-Kesatuan Sekerja dengan menganggap kesatuan sekerja dan pekerja sebagai aset penting dalam membina perkongsian pintar (smart partnership) di tempat kerja. Kerajaan perlu menyediakan platform dengan melihat para pekerja sebagai rakan kongsi yang membina, efektif dan penting dalam proses pembinaan negara, dan bukan sebaliknya.
UNI-MLC percaya bahawa cabaran-cabaran yang dialami sejak setahun yang lalu, antaranya impak bekerja dari rumah (WFH) atau dari lokasi terpencil, kepelbagaian sifat pekerjaan itu sendiri, dan hubungan majikan-pekerja yang semakin kompleks akan kekal disaksikan dalam bulan-bulan dan tahun-tahun akan datang. Peranan para pekerja dalam ekosistem sosioekonomi tidak boleh dipisahkan. Kita perlu menangani isu dan cabaran ini dengan menyeluruh. UNI-MLC yakin akan ada perubahan positif bagi membaiki taraf sosioekonomi pekerja dan rakyat.
UNI-MLC berkomited dan akan terus memberi sokongan dan kerjasama padu kepada pihak Kerajaan dalam mengharungi suasana getir ini sebagaimana telah dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong.
UNI-MLC mahu 10 perkara yang telah digariskan ini ditangani dan dilaksanakan dengan segera demi kemakmuran bersama yang diharapkan oleh kesemua pemegang taruh atau stakeholders.

*Datuk Mohamed Shafie BP Mammal adalah Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC)
**Penulisan artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.
#Hari Pekerja #UNI-MLC #Yang di-Pertuan Agong #GLC #COVID-19 #pandemik #Malaysia #Perdana Menteri #ekonomi #UNI MLC
;